Seorang kanak-kanak warga Palestin duduk di rumahnya yang musnah dalam serangan udara Israel di bandar Deir al-Balah, Semenanjung Gaza pada 12 Mei 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Pesawat pertama bawa kanak-kanak Palestin dirawat di UAE

ABU DHABI, 18 NOV: Pesawat pertama membawa seramai 15 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan keluarga mereka, tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif UAE dalam menyediakan rawatan perubatan untuk 1,000 kanak-kanak Palestin yang ditemani keluarga mereka dari Semenanjung Gaza.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi dari Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish di Mesir membawa kanak-kanak yang paling memerlukan bantuan perubatan segera.

Ini termasuk mereka yang mengalami kecederaan parah dan melecur serta pesakit kanser yang memerlukan rawatan terperinci.

Penolong Menteri bagi Hal Ehwal Luar untuk Kesihatan Maha Barakat berkata semua hospital di UAE bersedia untuk menerima baki kanak-kanak dan keluarga mereka dalam menyediakan penjagaan komprehensif serta perkhidmatan khusus mengikut piawaian antarabangsa.

Langkah itu bagi memastikan mereka pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan selamat, katanya.

“Sejak tercetusnya krisis, UAE segera menyediakan bantuan kemanusiaan dan bekalan kecemasan ke Semenanjung Gaza,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan mengeluarkan arahan untuk memperuntukkan pakej bantuan kemanusiaan sebanyak US$20 juta dan mengarahkan penubuhan hospital medan di Gaza sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan ‘Gallant Knight 3’.

Inisiatif membawa kanak-kanak dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di UAE juga atas arahan Sheikh Mohamed.

Maha berkata UAE telah menghantar 51 pesawat membawa 1,400 tan bekalan makanan, perubatan dan bantuan untuk menyokong usaha bantuan di Semenanjung Gaza.

Bantuan itu diselaraskan dengan organisasi-organisasi antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-BERNAMA-WAM


Pengarang :