Orang ramai mengunjungi reruai di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pesta Buku Antarabangsa Selangor buka tirai Jumaat ini, disertai 255 pempamer

SHAH ALAM, 29 NOV: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 kembali menemui orang ramai mulai 1 hingga 10 Disember.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, sebanyak 255 pempamer mengambil bahagian bagi mempromosi naskhah masing-masing di 354 reruai.

Daripada jumlah itu, 20 reruai disertai syarikat penerbitan antarabangsa antaranya Indonesia, Korea, China, Filipina, Nepal, Australia, Turkia dan Azerbaijan.

Selain jualan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik, acara yang bermula 9 pagi hingga 9 malam turut menawarkan hadiah wang tunai RM500 kepada sembilan pengunjung setiap hari.

Dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan nyayian lagu rakyat, mewarna dan kraf kad pop up turut dianjurkan.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Acara melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, Macedonia Utara, Korea Selatan dan Mesir.

Sejak dianjurkan pada 2006, pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir 5 juta pengunjung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) selepas menyampaikan hadiah program tokoh nilam peringkat daerah Petaling Perdana pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

 


Pengarang :