SUBANG JAYA, 7 NOV: Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari menjadi platform terbaik mencungkil bakat baharu bola sepak di negeri ini, kata pengerusi jawatankuasa penganjur.
Dato’ Emran Kadir berkata kejohanan yang diilhamkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor itu telah memasuki edisi kesembilan dan akan diteruskan tahun depan bagi meneruskan pencarian bakat di peringkat akar umbi.
“Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj amat prihatin dengan pembangunan bola sepak negeri dan kejohanan ini sentiasa menjadi tumpuan dalam kalangan pencari bakat.
“Dengan sokongan kuat dari penaja Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, pejabat pendidikan daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor mendorong kami untuk menganjurkan kejohanan lagi tahun hadapan,” katanya yang juga Orang Besar Daerah Petaling.
Beliau ditemui selepas perlawanan akhir Piala Dato’ Mokhtar Dahari bawah 18 tahun (B-18) 2023 di Stadium Arena MBSJ, di sini, malam tadi.
Menurut Emran, sebanyak 32 pasukan sekolah menengah menyertai kejohanan kali ini melibatkan 576 pemain bola sepak remaja bawah 18 tahun.
Kumpulan Perangsang Selangor Berhad merupakan penaja utama kejohanan dengan tajaan bernilai RM150,000 di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS).