SEPANG, 3 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama 3,000 jemaah di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong di sini, hari ini.
Ketibaan beliau sekitar jam 1 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Imam Masjid Taman Putra Perdana Huzaifah Razali dan para jemaah.
Anwar kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Integriti Pendukung Kekuatan Ummah’ yang disampaikan Pegawai Penyelaras Masjid Majlis Agama Islam Daerah Sepang Rahimi Abd Aziz.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/pm-1-1-500x314.jpg.webp)
Sebelum itu, nazir masjid Adnan Ali merakam penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM30,000 untuk kerja menaik taraf dan pembangunan masjid pada Februari lalu.
Anwar yang berbaju Melayu biru muda kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum beredar meninggalkan masjid jam 2 petang.
Perdana Menteri seterusnya meluangkan masa kira-kira 20 minit menikmati hidangan tengah hari di Restoran Masakan Kampong Mak Chik, Jalan Putra Perdana.
Aktiviti makan tengah hari dan solat Jumaat merupakan program mingguan Perdana Menteri untuk bertemu rakyat sejak mengetuai Kerajaan Perpaduan pada November tahun lalu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/PM-new-500x335.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/pm2-500x328.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/pm3-500x313.jpg.webp)