Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan doa sebelum bertolak dari Kementerian Kewangan ke Parlimen untuk pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

PM suntik keyakinan, letak Malaysia di landasan tepat

Selama 12 bulan berada bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, keyakinan banyak pihak terhadap hala tuju negara berjaya dipulihkan.

Memperoleh mandat dua pertiga ahli parlimen untuk mengemudi negara, Anwar segera melaksana reformasi, menarik kedatangan pelabur dan meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk terus berkembang maju.

Sepanjang setahun, usaha tertumpu membela golongan berpendapatan rendah berikutan kelemahan pentadbiran terdahulu. Beliau berusaha mengatasi masalah itu melalui pembaharuan institusi, dasar dan undang-undang.

Imej negara pada peringkat antarabangsa turut melonjak. Pelbagai isu serantau mahupun global disuarakan Anwar hasil hubungan baik dengan ramai pemimpin dunia.

Wartawan NAZLI IBRAHIM, ZAREEF MUZAMMIL, NORRASYIDAH ARSHAD, SHEEDA FATHIL dan ABDUL RAHIM SABRI merakam reaksi ahli ekonomi, penulis buku politik, wakil rakyat, penyelidik bebas dan penggiat seni terhadap pentadbiran 12 bulan perdana menteri.

Dr Nungsari Ahmad Radhi,
ahli ekonomi

Dr Nungsari Ahmad Radhi. Foto BERNAMA

Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa satu kestabilan politik dalam negara. Penguasaan dua pertiga Dewan Rakyat membolehkan tumpuan diberi kepada usaha mentadbir negara pada era pascapandemik yang mencabar terutama faktor luaran seperti peperangan di Ukraine dan Gaza, ketegangan China dan Amerika Syarikat serta dasar kewangan.

Kerajaan juga meluluskan Akta Tanggungjawab Fiskal untuk menjadikan pengurusan kewangan negara jauh lebih telus dengan melibatkan Parlimen. Akta ini melihat menteri kewangan menurunkan kuasa menteri kepada Parlimen bagi mengelakkan salah guna kuasa seperti 1Malaysia Development Berhad tidak berulang pada masa depan.

Kerangka agenda Ekonomi Madani yang dilancarkan pula menjelaskan falsafah pembangunan kerajaan serta menggariskan komponen utama dalam bentuk ‘rumah Malaysia’ bagi meningkatkan kebajikan masyarakat di pinggiran serta membina daya saing baharu untuk negara.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid,
ketua ekonomi dan kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid. Foto BERNAMA

Datuk Seri Anwar Ibrahim cakna keperluan untuk merancakkan ekonomi negara selain mengambil maklum keperluan (ekonomi) dalam tempoh sederhana dan jangka panjang.

Ini dapat dilihat beberapa dokumen penting dikongsi tahun ini seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan Negara 2024 yang dilihat seimbang dengan mengambil kira keperluan semasa.

Bukan mudah membuat pertimbangan itu memandangkan ekonomi dunia berdepan situasi tidak menentu seperti kenaikan drastik kadar faedah di negara maju seperti Amerika Syarikat, kelembapan ekonomi China yang terhambat akibat situasi sektor hartanah mereka dan faktor geopolitik.

Mohamad Sayuti Omar,
penulis buku politik

Dalam tempoh setahun masih tidak boleh dibuat ukuran berhubung keberkesanan pentadbiran kerajaan persekutuan, masih banyak aspek yang belum dipenuhi atau kemas misalnya ada berbagai agensi kerajaan khasnya di negeri pembangkang dilaksanakan.

Kesan positif adalah perhatian kepada nasib rakyat bawahan daripada berbilang kaum. Program menoktahkan kemiskinan sesuatu iltizam yang baik. Pembasmian rasuah juga sangat jelas dan nyata.

Kerajaan harus dengar pandangan akar umbi dan bukan setakat lancar polisi atau pelbagai rancangan dan idea di atas kertas, perlu bertindak cepat dan tidak mengambil masa panjang untuk dilaksanakan.

Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad,
Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, penyanyi dan komposer

Altimet. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Saya rasa beliau sedang bekerja keras untuk menambah baik urus tadbir dan tatakelola di peringkat persekutuan. Tahun pertama dan permulaan yang bagus. Saya yakin, insya-Allah momentum ini akan berterusan.

Saya menyambut baik usaha-usaha seperti pengecualian cukai untuk sektor-sektor kreatif tempatan. Namun, saya ingin ingatkan kepada orang-orang kreatif, ini bukan satu pengecualian yang kekal. Kalau boleh pastikan simpanan daripada pengecualian ini dilaburkan balik ke sektor kreatif masing-masing.

Hisommudin Bakar,
pengarah eksekutif Ilham Centre

Keberadaan beliau di pentas dunia juga begitu menarik perhatian sehingga berjaya membina hubungan diplomatik antara negara luar iaitu dengan hubungi sendiri presiden Turkiye, Indonesia termasuk terlibat secara aktif dalam persidangan antarabangsa seperti Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Malah, belanjawan 2024 diumumkan perdana menteri baru-baru ini juga antara yang terbaik, pakej ditawarkan begitu menarik perhatian umum dan bersifat prorakyat. Bagi saya belanjawan ini begitu berani dan pada masa sama tidak nampak elemen kritikan daripada blok pembangkang sekali gus membuktikan belanjawan ini mencakupi segenap aspek yang diperlukan dalam mendepani 2024 akan datang.

Dr Nazri Muslim,
timbalan dekan penyelidikan dan jaringan Pusat Pengajian Citra Universiti Kebangsaan Malaysia

Rakyat sudah mula menerima dasar dan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Cuma keadaan ekonomi yang kurang stabil dengan kenaikan kos sara hidup dan barangan keperluan, boleh merencatkan usaha yang diambil oleh perdana menteri. Perang psikologi untuk menjatuhkan kerajaan juga sudah mulai senyap sejak lebih setahun pentadbiran beliau. Justeru, perkara ini boleh membantu pemulihan keyakinan pelabur dan akan memacu kestabilan ekonomi negara.

Banyak perkara positif terutama bantuan kepada golongan B40, pesawah padi, penoreh getah, nelayan dan petani serta belia. Ini yang saya rasa sangat penting dan diberi keutamaan. Malah, pengurangan cabutan judi, menyemarakkan majlis ilmu juga dilihat semakin berkembang.

Noor Amin Ahmad,
pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia dan bekas ahli parlimen Kangar

Noor Amin Ahmad. Foto BERNAMA

Perdana menteri begitu menonjol sekali dalam banyak perkara di dalam dan di luar negara. Namun, kesan akibat Covid-19 sedikit sebanyak memberi cabaran besar kepada ekonomi dunia dan dalam negara yang boleh dilihat melalui isu pembekalan dan harga sesetengah barangan asasi. Bagaimanapun, kita boleh lihat beberapa petunjuk positif seperti angka rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tentang menurunnya kadar pengangguran dan kadar inflasi serta kembalinya ramai pelabur luar.

Kata kunci yang penting masih perlu diusahakan oleh kerajaan ialah keseimbangan. Sebagaimana tema yang selalu diungkap oleh perdana menteri, memetik daripada Pak Natsir, “jangan kita membangun sambil meruntuh”, mengurangkan kesenjangan ekonomi dengan memastikan setiap sektor berkembang, mampan dan mapan.

Zunar atau Zulkiflee Anwar Haque,
kartunis

Zulkiflee Anwar Haque (Zunar). Foto zunar.my

Apabila ambil alih, Anwar hadapi masalah besar terutama dalam ekonomi. Kita lihat hutang negara ketika itu RM1.5 trilion.

Juga dalam segi politik, ia datang dalam keadaan terpaksa tubuh Kerajaan Perpaduan yang menyebabkan keadaan politik pada mulanya kurang stabil kerana pihak pembangkang sentiasa cuba menukar kerajaan. Jadi dia ada cabaran dalam segi ekonomi dan politik.

Bagaimanapun, dalam dua masalah ini, sebenarnya Anwar cukup bagus kerana dia sekurang-kurangnya dapat kurangkan masalah ekonomi dengan membawa pelabur masuk.

Apa yang positif pentadbiran ini, kita tahu di Malaysia sebelum ini tiada usaha untuk menangani rasuah. Punca kepada segala masalah di Malaysia ini adalah rasuah.

Ini sudah berlaku sekian lama dan tidak ada langkah diambil perdana menteri sebelum-sebelum ini untuk tangani isu rasuah secara serius.

Apa yang penting sekarang ini dunia media sosial. Saya rasa Kerajaan Perpaduan kena buat lebih untuk menangani isu di media sosial bukan sahaja hal negatif tetapi kerana saya rasa kadang-kadang orang tidak tahu kejayaan kerajaan, tidak sampai ke rakyat terutama pengguna media sosial.

Badlishah Sham Baharin,
presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

Ekonomi Madani yang diperkenalkan juga berupaya membela nasib semua rakyat terutama golongan miskin supaya mereka boleh mengecapi kehidupan lebih baik, sekali gus menoktahkan kemiskinan di negara ini.

Pimpinan beliau juga sedang mereformasikan institusi seperti Akta Kebebasan Maklumat, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Pendanaan Politik dan pemisahan kuasa antara pendakwa raya serta peguam negara demi memerangi rasuah selain meningkatkan integriti negara pada masa hadapan.

Muhammad Faisal Abdul Aziz,
presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Alhamdulillah, dalam konteks kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dilihat lebih tegap, stabil dan kukuh secara tidak langsung dalam tempoh setahun ini. Beliau juga banyak menumpukan pemerkasaan rakyat miskin dan ini satu perkara yang amat bagus dan patut dipuji.

Bagaimanapun, barisan kabinet juga perlu memberikan pembentangan laporan kementerian masing-masing dalam tempoh setahun pentadbiran ini supaya rakyat tahu selain mereka juga perlu ada perancangan ke depan.

 

 


Pengarang :