KUALA LUMPUR, 30 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto di Seri Perdana, Putrajaya.
Beliau berkata pada pertemuan itu, pelbagai isu berkaitan kepentingan bersama Malaysia dan Indonesia termasuk hubungan dua hala dalam pertahanan dan keamanan negara dibincangkan.
“Semoga hubungan kedua-dua negara serumpun ini terus terjalin erat dan utuh buat selamanya, insya-Allah,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
— BERNAMA