Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Tiada syarat untuk dapat peruntukan, hanya perlu berunding

SHAH ALAM, 28 NOV: Tiada syarat menetapkan mana-mana wakil rakyat perlu menyokong pentadbiran perdana menteri bagi mendapat peruntukan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, perdana menteri menegaskan ahli parlimen blok pembangkang harus berunding seperti kelaziman yang digunakan dalam mana-mana sistem demokrasi.

“Saya tidak halang peruntukan mana-mana wakil rakyat. Saya amalkan peraturan dihormati, rundingan antara pembangkang dan kerajaan. Tiada syarat atau prasyarat untuk sokong perdana menteri.

“Saya beri tahu peruntukan kepada rakyat diberikan. Tidak salur kepada pembangkang sehingga rundingan diadakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata isu tersebut tidak perlu dipanjangkan dan meminta wakil rakyat pembangkang meneliti perjanjian persefahaman antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional berhubung perkara itu.

“Wakilnya ada Larut (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan). Bincanglah…jangan gunakan isu ini sebab dalam ceramah ada makian.

“(Kata) Kita zalim tidak beri peruntukan kepada pembangkang. Ini perdana menteri tidak guna, minta sokongan baru bagi peruntukan. Saya tidak pernah sebut begitu,” katanya.

Kelmarin, Anwar menegaskan peruntukan pembangunan bagi negeri ditadbir pembangkang masih diteruskan walaupun tidak diberikan terus kepada ahli parlimen.

Jelasnya langkah itu dibuat selepas merasakan ia tidak sepatutnya diberi kepada pemimpin yang mencerca, memaki dan menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan.


Pengarang :