Sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas daripada lelaki warga asing bernilai lebih RM6 juta dalam operasi pada 29 Mac 2023 di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Foto Facebook PDRM Pulau Pinang
AGENDANASIONAL

Polis hadapi situasi mencabar kekang pengedaran dadah

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis menghadapi situasi kian mencabar dalam usaha membasmi pengedaran dadah susulan modus operandi sindiket yang semakin kreatif untuk lepas daripada tindakan undang-undang.

Kebelakangan ini terdapat beberapa serbuan polis melibatkan rampasan dadah disembunyikan dalam kereta yang dijadikan stor diparkir di tepi-tepi jalan.

Mengakui ia merupakan trend terkini sindiket pengedaran dadah, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata taktik itu memberikan cabaran tersendiri kepada pegawai penyiasat di jabatan berkenaan.

Mohd Kamarudin berkata taktik itu digunakan bagi mengelakkan sebarang pertemuan antara pihak sindiket, ‘transporter’ dan pembeli dadah.

“Jika pembeli dan transporter dadah ini ditangkap, mereka tidak boleh memberikan maklumat mengenai sindiket berkenaan secara terperinci kerana mereka tidak mengenali antara satu sama lain kerana tiada pertemuan bersemuka dilakukan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Mohd Kamarudin kaedah itu menyebabkan siasatan menjadi rumit dan mencabar berikutan elemen pemilikan dadah sukar dibuktikan kerana dalam kebanyakan kes, pemilik kenderaan adalah individu lain, sama ada disewa atau kereta tersadai dan bukan milik individu yang ditangkap.

Dalam pada itu, kepesatan teknologi maklumat juga membolehkan pengguna membeli dadah secara dalam talian tanpa berjumpa kerana penghantaran dadah menggunakan servis kurier.

Mohd Kamarudin berkata terdapat juga beberapa dark web atau laman sesawang gelap dikenal pasti menjalankan aktiviti jual beli dadah secara terbuka dalam talian.

“Pihak polis akan terus menjalankan risikan dari semasa ke semasa untuk memastikan aktiviti pengedaran melalui dark web ini tidak berkembang dengan lebih meluas,’ katanya.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata JSJN telah berjaya merampas sebanyak lebih 19,000 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan lebih 13,900 liter pelbagai jenis cecair dadah dalam usaha membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi tempoh 10 bulan tahun ini, selain merampas lebih 64,800 kg daun ketum dan 49,000 liter air ketum.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM452.40 juta, katanya.

Beliau berkata JSJN sentiasa berusaha mencari jalan mengatasi modus operandi penjenayah bagi memastikan mereka diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :