AGENDAJENAYAH

Polis lepas tembakan, penjenayah rempuh kereta selepas dikejar lapan km

BUKIT MERTAJAM, 3 NOV: Seorang lelaki bertindak nekad merempuh kenderaan polis selepas dikejar lapan kilometer dari Kulim, Kedah ke kawasan perumahan di Taman Bukit Indah, di sini pada 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata kejadian menyebabkan anggota  terpaksa melepaskan dua  das tembakan yang mengenai tayar hadapan sebelah kanan kereta jenis Proton Wira, sebelum suspek berusia 24 tahun itu berjaya diberkas.

Beliau berkata tindakan itu terpaksa diambil bagi mempertahankan diri berikutan suspek enggan menyerah diri dan melanggar bahagian hadapan kenderaan polis.

“Sebelum itu, suspek diminta berhenti untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota kereta peronda polis (MPV) Balai Polis Kulim Hi-Tech yang melakukan rondaan di kawasan terbabit pada kira-kira 8.50 malam.

“Bagaimanapun, ketika anggota menghampiri kenderaan itu suspek bertindak memecut kenderaannya hingga ke kawasan Bukit Mertajam,” katanya dalam kenyataan.

Tan berkata suspek panik kerana melalui jalan mati dan anggota meminta lelaki itu menyerah diri, namun dia berdegil sebaliknya cuba membuat pusingan U sebelum memecut kenderaan dan merempuh bahagian hadapan MPV polis.

“Dalam keadaan cuba mempertahankan diri, polis terpaksa lepaskan dua das tembakan dan mengenai tayar hadapan kereta suspek menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dengan dua daripadanya berkaitan kes dadah, manakala empat lagi jenayah pecah rumah dan hasil ujian air kencing mendapati positif syabu.

Menurutnya semakan turut mendapati kenderaan dinaiki suspek adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Nibong Tebal pada hari sama.

Suspek juga dipercayai baru selesai melakukan jenayah curi lembu sebelum dihampiri anggota polis berikutan penemuan peralatan berkaitan aktiviti itu di dalam kenderaannya.

Tan berkata suspek kini direman tujuh hari hingga 9 Nov untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

— BERNAMA


Pengarang :