Polis Terengganu melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.2 juta yang dirampas dari 1996 hingga 2023 pada majlis serahan barang kes narkotik bagi program pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada 2 November 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis lupus dadah bernilai RM6.2 juta rampasan sejak 1996

KUALA TERENGGANU, 2 NOV: Polis Terengganu melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.2 juta yang dirampas bermula 1996 hingga tahun ini melibatkan 3,557 kertas siasatan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata dadah itu dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah terbabit tamat.

Beliau berkata jenis dadah yang dilupus termasuk heroin, ganja, pil yaba, syabu, ketamin, daun ketum, ubat batuk, eramin 5, dan pil psikotropik.

“Kesemua bahan terlarang ini akan diserahkan kepada Kualiti Alam Sdn Bhd, syarikat yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan.

“Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar kerana barangan kes dadah adalah bahan buangan berjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005.

“Ini juga menunjukkan ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tiada barang kes dadah disalah guna,” katanya pada Majlis Serahan Barangan Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Dalam pada itu, Mazli berkata sepanjang tahun ini pihaknya merekodkan 739 kes di bawah kategori bekalan melibatkan Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, telah dibuka dan hampir 96 peratus daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.

Bagi kategori permintaan yang meliputi Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya pula, 1,598 kes telah dibuka dan 94.06 peratus daripadanya dituduh di mahkamah.

“Peningkatan pertuduhan dua kategori kesalahan ini memperlihatkan tindakan drastik PDRM Terengganu dalam memastikan kegiatan pengedaran dikurangkan ke tahap minimum.

“Sepanjang tahun ini juga polis Terengganu telah mengambil tindakan ke atas 838 orang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :