Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis terima 37 laporan ancaman bom palsu di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 37 laporan polis berhubung ancaman bom palsu di seluruh negara setakat 2 petang tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ia melibatkan 28 sekolah antarabangsa, tujuh sekolah swasta dan dua sekolah kerajaan.

Beliau berkata Selangor merupakan negeri tertinggi iaitu sebanyak 15 laporan polis, diikuti Kuala Lumpur sebanyak enam, Johor (enam), Pulau Pinang (tiga), Perak (dua), Negeri Sembilan (dua), Kedah (satu), Sarawak (satu) dan Sabah (satu).

“Susulan itu, PDRM telah membuka sembilan kertas siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya hari ini.

Semalam, Razarudin memaklumkan PDRM telah menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

Ancaman berkenaan dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama ‘taktstorer’ yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

– BERNAMA


Pengarang :