AGENDAJENAYAH

Polis tumpas sindiket edar dadah, enam lelaki ditangkap

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Seorang lelaki warga Indonesia disyaki dalang sindiket pengedaran dadah ditahan bersama lima warga tempatan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua suspek berusia 26 hingga 46 tahun itu ditahan di kawasan lobi dan rumah di kondominium terbabit pada 7.20 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata sebanyak 10 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM341,000 dan tiga kenderaan jenis Toyota Alphard, Toyota Vios dan Perodua Alza dirampas dalam serbuan itu.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak dua bulan lepas sekitar Kuala Lumpur dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allaudeen berkata lima warga tempatan yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah serta tiga daripadanya merupakan individu dikehendaki polis berkaitan narkotik dan jenayah.

Beliau berkata kesemuanya yang positif terhadap dadah jenis methamphetamine direman hingga 24 Nov ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :