Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (kiri) bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kanan) berkenan melihat Rafael Firdaus Masod,12 membaca buku braille ketika melawat Zon Kreatif di Perpustakaan Raja Uda pada 23 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS tambah perkhidmatan khas untuk OKU pendengaran, autisme tahun depan

SHAH ALAM, 23 NOV: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berhasrat memperluaskan perkhidmatan khas bagi membantu orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan autisme tahun depan.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata setakat ini PPAS sudah menyediakan 300 buku braile untuk OKU penglihatan di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad berucap pada Pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di Perpustakaan Raja Uda pada 23 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ketika ini ramai anak-anak kecil mengalami masalah autisme, malah meningkat sangat drastik berikutan ibu bapa terlalu leka bermain telefon bimbit dan kurang berkomunikasi dengan anak mereka. Jadi kita akan sediakan perkhidmatan untuk mereka di sini.

“Pada masa sama kita akan bina jaringan dengan pensyarah universiti yang pakar dalam bidang ini termasuk mendapatkan peruntukan Kerajaan Negeri untuk mengupah minimum tujuh hingga 14 orang bagi mengendalikan perkhidmatan ini,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyampaikan sijil penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua kanan) yang menyertai pasukan Kilimanjaro pada Majlis Pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di Perpustakaan Raja Uda pada 23 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Ditemui selepas pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di sini, beliau menjelaskan kemudahan untuk individu berkeperluan khas itu sejajar dengan projek pembangunan fasa dua perpustakaan terbabit yang dijangka siap akhir 2026.

“Untuk menyediakan perkhidmatan ini kita tidak perlu menunggu sampai bangunan baharu siap, sebaliknya kita sudah mulakan di sini (bangunan sedia ada).

“Sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri dan penderma nampak bahawa kemudahan ini boleh memanfaatkan individu berkeperluan khas,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat Abian Jambot menggunakan perisian ‘open book’ pada Majlis Pelancaran Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda di Perpustakaan Raja Uda pada 23 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengulas berhubung pembangunan projek terbabit, Mastura memberitahu proses lantikan kontraktor sudah selesai dan menunggu kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Diharap projek ini dapat dimulakan dalam tempoh singkat sejajar dengan hasrat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk melihat projek ini siap dibangunkan dalam tempoh tiga tahun.

“Projrk ini akan memenuhi keperluan semua komuniti baik ibu mengandung, bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Turut dibangunkan Galeri DiRaja yang bakal mengumpulkan koleksi istimewa milik Baginda,” katanya lagi.


Pengarang :