Sebahagian pemain ukulele yang mencipta rekod baharu bagi persembahan ukulele teramai di Malaysia dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR). Foto ihsan Prec
AGENSISELANGOR

Prec-UCMI cipta rekod anjur persembahan ukulele teramai di Malaysia

SHAH ALAM, 22 NOV: PKNS Real Estate Sdn Bhd (Prec) dan Kolej Universiti Antarabangsa Maiwp (UCMI) mencatat sejarah melalui penganjuran persembahan ukulele teramai di Malaysia, hujung minggu lalu.

Acara menampilkan seramai 710 pemain ukulele yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) diadakan sempena Festival Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 di pusat beli-belah SACC.

Mengangkat tema lagu klasik kanak-kanak, Ketua Pegawai Eksekutif PREC Fakru Radzi Ab Ghani berkata program tersebut menjadi pelantar bagi menghimpunkan semua pemain industri kanak-kanak.

“Kerjasama industri dan institusi yang terjalin juga aspek penting pembinaan generasi masa depan. Kita tidak hanya mengangkat suara kanak-kanak tetapi bersama-sama membentuk generasi Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UCMI Prof Dr Nurul Aliah Mustafa berkata program itu mencapai objektif mengangkat suara kanak-kanak dalam industri kreatif.

Bertemakan “Inklusif, untuk Semua Kanak-kanak”, festival yang berlangsung pada 18 dan 19 November turut menampilkan persembahan kreatif kanak-kanak dan hari graduasi 500 kanak-kanak tadika.

Turut disediakan reruai daripada industri dan slot Solidariti Suara Anak-Anak Palestin yang mengangkat suara kemanusiaan.


Pengarang :