Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 12 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Rakan Muda lepasi sasaran penyertaan sejuta belia

SHAH ALAM, 27 NOV: Lebih 1.07 juta belia menyertai program Rakan Muda menerusi penganjuran 3,947 aktiviti merentas pelbagai gaya hidup antara 25 Jun hingga 14 November.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata jumlah itu melebihi sasaran sejuta belia tahun ini bawah program yang diberi nafas baharu sesuai dengan keperluan mereka.

“Program Rakan Muda diberi nafas baharu sesuai dengan 10 gaya hidup terkini golongan belia dalam negara dan dilancarkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 25 Jun 2023.

“Gaya hidup yang mendapat sambutan hangat anak muda antaranya rakan aktif, rakan demokrasi, rakan mahir dan rakan digital,” katanya menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Adam Adli berkata pihaknya juga akan terus menjadikan Rakan Muda sebagai program utama dalam memperkasa pembangunan diri belia, di samping menyemai gaya hidup positif.

Jelasnya, program turut melibatkan kerjasama strategik agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat dalam aspek perkongsian dana, penggunaan kemudahan fizikal dan pengukuhan kepakaran.


Pengarang :