Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al Rashid bersama peserta Karnival Sukan OKU peringkat Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Program sukan OKU perlu diperluas, cungkil bakat dari awal

SHAH ALAM, 28 NOV: Penganjuran program sukan khusus untuk orang kurang upaya (OKU) perlu diperluas dan dianjur lebih kerap bagi memperkasa kebolehan golongan itu.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berkata bakat anak-anak istimewa perlu digilap daripada awal supaya potensi mereka dalam bidang itu berkembang.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al Rashid ketika Karnival Sukan OKU peringkat Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sukan membabitkan golongan ini sering dipandang kecil sedangkan peringkat antarabangsa diiktiraf. Penganjuran lebih kerap amat baik dan sewajarnya diketengahkan di peringkat lebih awal.

“Mereka ini juga berbakat dalam pelbagai bidang bukan sahaja sukan tetapi seperti seni dan muzik,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan OKU peringkat Selangor di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al Rashid memotong riben simbolik merasmikan Karnival Sukan OKU peringkat  Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Selaku mantan ketua jabatan di Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (ANIS), Danial berhasrat mahu mengusulkan program mengasah bakat OKU diberi tumpuan khusus di pusat berkenaan.

“Di pusat ANIS, tumpuan diberikan kepada pembangunan dan intervensi anak-anak istimewa supaya mereka mampu berdikari apabila dewasa.

“Saya melihat golongan ini mempunyai bakat yang seharusnya dikembangkan. Jadi saya akan usulkan perkara ini supaya bakat mereka diberi perhatian khusus seterusnya boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Perarakan masuk peserta Karnival Sukan OKU peringkat Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, pengarah karnival Dr Nazlin Hanie Abdullah berkata seramai 180 individu daripada sembilan pusat pemulihan dalam komuniti terlibat dengan sukan OKU.

“Program ini julung kali diadakan dan merupakan anjuran Universiti Selangor, Kementerian Belia dan Sukan dan beberapa lagi agensi terlibat yang bertujuan memberi ruang kepada OKU.

“Terima kasih atas kerjasama diberikan dan diharap dengan penganjuran program ini memberi pendedahan kepada anak-anak OKU sekali gus sukan babit golongan ini dapat diperluas,” katanya.

Sekitar Karnival Sukan OKU peringkat Negeri Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :