Pengunjung membeli barang keperluan asas yang ditawarkan di Jualan Ehsan Rahman (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Dewan Persatuan Penduduk Pangsuri PKNS Seri Serdang pada 14 November 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Puas hati barang asas murah berkualiti, warga emas kunjungi JER berulang kali

SUBANG JAYA, 14 NOV: Kualiti barangan asas terjamin walaupun ditawar murah daripada harga pasaran membuatkan pengunjung sanggup datang berulang kali ke program Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Pengunjung Suzan Chong, 60, berkata beliau sering mengikuti hebahan dan datang awal ke lokasi jualan agar tidak terlepas peluang membeli semua produk yang ditawarkan.

Suzan Chong, 60,

“Setiap barangan ada had belian, jadi kalau saya lambat ada barangan yang akan habis. Sebab itu saya usaha datang awal.

“Sudah lebih 15 kali saya datang ke jualan ini dan tidak lagi membeli barangan yang dijual di sini di pasar raya. Saya boleh jimat sekurang-kurangnya RM30 di sini,” katanya.

Suzan antara lebih 300 pengunjung JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Dewan Persatuan Penduduk Pangsuri PKNS di sini, hari ini.

Sementara itu, suri rumah Norela Omar, 65, pula berharap Kerajaan Negeri meneruskan jualan murah berkenaan supaya lebih ramai penduduk terutamanya golongan B40 sepertinya dapat berjimat.

Norela Omar, 65,

“Siapa yang mahu berjimat mereka akan berusaha datang dan rebut peluang beli barangan keperluan di sini.

“Dulu pada mulanya saya ingat barangan yang dijual tidak berkualiti namun jangkaan saya meleset kerana kualitinya setanding pasar raya,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Pengunjung membeli barang keperluan asas yang ditawarkan di Jualan Ehsan Rahman (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Dewan Persatuan Penduduk Pangsuri PKNS Seri Serdang pada 14 November 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Pengarang :