BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rahmat kepelbagaian manusia, ujian buat umat Islam

Oleh Marwan Bukhari A Hamid

Sifat keesaan tuhan memberi pelbagai implikasi kepada pemikiran dan kehidupan.

Salah satu implikasi tauhid atau keesaan tuhan ialah seluruh makhluk lain termasuk manusia bersifat berpasangan dan tunduk kepada ciri kepelbagaian.

Terdapat kepelbagaian di pelbagai peringkat termasuk penciptaan merangkumi warna, bentuk, saiz, bahasa, rupa dan sebagainya.

Firman Allah dalam surah al-Rum, ayat 22:

“Di antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”

Selain itu, terdapat juga kepelbagaian dalam berakidah, pemikiran dan pendekatan berfikir. Kepelbagaian ini juga merupakan kehendak tuhan. Firman Allah dalam surah Hud, ayat 118-119:

“Kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”

Menurut ulama terkemuka dari Iraq, Sheikh Dr ‘Ali al-Qaradaghi dalam bukunya berjudul Islam Agama Rahmah, kepelbagaian ialah hukum alam (sunnatullah) yang merupakan kehendak Allah SWT sejak azali.

Berdasarkan ayat surah Hud itu juga, ia menunjukkan kepelbagaian sebagai satu tujuan penciptaan manusia secara keseluruhannya.

Maksud ayat ini, kalau Allah kehendaki, tentu Dia menjadikan seluruh manusia menganut agama yang sama.

Tapi Allah tidak berbuat demikian kerana dunia ini ialah tempat ujian buat manusia untuk mencari jalan kebenaran dan mengikuti kebenaran.

Beza pandangan

Oleh itu, manusia dikurniakan akal, diutuskan rasul dan diturunkan kitab suci sebagai panduan.

Malah, kiamat juga akan berlaku untuk memberi ganjaran kepada yang beriman dan berbuat kebaikan serta memberi hukuman kepada yang kufur dan melakukan kejahatan.

Manusia akan sentiasa berbeza pandangan dan pemikiran. Kepelbagaian pemikiran juga berlaku kerana manusia mempunyai tabiat dan keupayaan berbeza dalam berfikir.

Hal ini turut ditegaskan oleh Ibn Rushd dalam Fasl al-Maqal yang membahagikan tabiat dan keupayaan manusia dalam membenarkan sesuatu perkara kepada tiga.

Ada pendekatan yang sesuai untuk seluruh manusia, ada yang sesuai untuk kebanyakan manusia dan ada pula jalan khusus untuk golongan tertentu sahaja.

Disebabkan itu, kecenderungan, tabiat diri dan kesediaan ilmu manusia memberi kesan terhadap pendekatan yang diambilnya dalam berfikir dan beramal.

Berkenaan kepelbagaian bangsa dan kaum pula, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, serta Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Ayat ini mempertegas lagi tentang satu aspek kepelbagaian iaitu berkaitan bangsa, suku dan puak.

Dari satu sudut, ayat ini menyebut tentang asal manusia daripada Adam dan Hawa, justeru menunjukkan setiap manusia adalah sama.

Hikmah ujian

Dari sudut yang lain, dijelaskan hikmah kepelbagaian bangsa iaitu agar manusia saling mengenali.

Seterusnya, kehidupan manusia bukan sekadar untuk saling mengenali sesama mereka tetapi juga demi meneruskan perjalanan mengenali tuhan mereka iaitu Allah dan bertakwa kepada-Nya kerana itulah semulia-mulia manusia di sisi Allah.

Kepelbagaian juga boleh dilihat sebagai ujian. Kepelbagaian warna kulit sebagai ujian untuk manusia saling menghormati dan tidak menghina.

Kepelbagaian bahasa sebagai ujian untuk manusia saling belajar dan bertukar-tukar ilmu.

Kepelbagaian tamadun sebagai ujian untuk manusia mengiktiraf kebaikan masing-masing, bekerjasama memakmurkan bumi dan tidak mengutamakan pertembungan yang merugikan.

Kepelbagaian keupayaan manusia dalam ilmu, pemikiran dan fizikal sebagai ujian kepada manusia untuk saling membantu antara satu sama lain demi mencapai kejayaan hidup, bukannya yang kuat dan berilmu membuli yang lemah dan tidak berilmu.

Dalam masa sama, kepelbagaian tidak bermaksud manusia tidak boleh bersatu terutama dalam hal-hal yang melibatkan kebaikan bersama dan sejagat.

Maksudnya, kepelbagaian yang sihat itu seharusnya dalam bingkai kesatuan.

Ada masanya kesatuan keimanan sebagai sesama muslim kerana akhirnya kita berkongsi rukun iman yang sama dan rukun Islam yang sama.

Ini dinamakan sebagai persaudaraan keimanan. Pada masa lain pula mungkin kesatuan yang lebih luas kerana kita memiliki persaudaraan kemanusiaan walau berbeza agama dan negara.

Sebagai muslim, kita perlu menerima realiti kepelbagaian.

Menerima tidak semestinya bersetuju dengan pihak yang berbeza dengan kita, tapi kita menerimanya dan sedia untuk berbeza dengan penuh bijaksana demi mencapai kebenaran, menegakkan kebaikan, memakmur bumi dan mengatasi kerosakan.

 

*** Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia 


Pengarang :