Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis sambutan Deepavali peringkat Selangor 2023 di Dataran Klang@Padang Chetty, Klang pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat diseru rebut peluang ekonomi, jadikan Selangor pusat pembangunan

KLANG, 5 NOV: Rakyat diseru untuk terus merebut peluang ekonomi dan menjadikan Selangor sebagai pusat pembangunan sekali gus kekal penyumbang terbesar ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasrat itu boleh dicapai sekiranya rakyat mengekalkan semangat perpaduan dan menjalankan kerja dengan penuh tatakelola dan berdisiplin.

“Rakyat Selangor, mari rebut peluang jadikan negeri ‘centre of development’ di Malaysia. Teruskan kewujudan sebagai penyumbang terbesar ekonomi paling maju dengan beri sumbangan dan dampak besar pada negara.

“Kita mampu laksana jika jalankan kerja dengan baik contohnya Rancangan Selangor Pertama (RS-1) atau yang akan saya bentang dalam Belanjawan 2024 nanti. Kita akan mampu melepasi bukan sahaja halangan satu atau dua tahun tetapi Selangor boleh menjadi pusat tarikan di Asia.

“Kita ada resipi…ada ramuannya. Ramuan daripada segi rakyat berbilang kaum, latar belakang, kebudayaan dan tamadun hebat,” katanya pada majlis sambutan Deepavali peringkat negeri di Dataran Klang@Padang Chetty di sini, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama barisan EXCO dan ADUN pada majlis sambutan Deepavali peringkat Selangor 2023 di Dataran Klang@Padang Chetty, Klang pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah beliau, hasrat itu dapat dicapai berikutan Selangor mempunyai kemudahan daripada lapangan terbang sampai ke pelabuhan serta mempunyai program-program dengan kekuatan ekonomi sendiri sama ada sub sektor pembuatan atau perkhidmatan.

Amirudin dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2024 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 10 November depan. Dewan dijadual bersidang mulai 10 November hingga 24 November.

Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung pembentangan berkenaan melalui laman sesawang SelangorTV selain Facebook Media Selangor dan Amirudin Shari.

Laporan berita pula boleh diikuti melalui Selangorkini selain versi bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil manakala edisi cetak berbahasa Melayu terbit keesokannya.


Pengarang :