Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, selamat tiba di tanah air pada 14 November 2023 bersama suami warga Palestin Mohamed A.M. Shaat selepas dibawa keluar dari Gaza, melalui sempadan Rafah di Mesir. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia dibawa keluar dari Gaza, rakam penghargaan kepada kerajaan

SEPANG, 15 NOV: Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, yang dibawa keluar dari Gaza, melalui sempadan Rafah di Mesir selamat tiba di tanah air malam tadi bersama suaminya warga Palestin Mohamed A.M. Shaat.

Nurul Ain, 37, dan suami berada di Gaza sejak 1 Oktober lalu untuk melawat keluarga mentua sebelum pergolakan di Gaza tercetus pada 7 Oktober, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melalui penerbangan Qatar Airways dari Doha, Qatar.

“Saya (berjaya) keluar dari Gaza dan serahkan mereka (rakyat Palestin) dalam jagaan Allah”, kata Nurul Ain ketika ketibaan yang disambut suasana hiba oleh bapanya Haron Hamim, 65, dan ibu Mastura Yusof, 61 serta adik perempuan Puteri Dania Qistina, 15, serta saudara.

Ditanya perasaannya setelah selamat keluar dari Gaza, Nurul Ain berkata beliau dan suami tidak mahu meninggalkan Gaza pada mulanya memandangkan keluarga mentuanya masih berada di sana namun keadaan semakin buruk.

“Keadaan menjadi semakin buruk daripada (konflik) 2014. Jadi saya dan suami kena keluar kerana dia perlu bekerja dan jika tak sambung (kerja) macam mana nak sara keluarga kita,” katanya sambil menambah Mohamed ialah doktor perubatan di Dubai.

Nurul Ain berkata terdapat ahli keluarga suaminya yang syahid dan rumah mereka terkena serangan misil.

“Bukan satu tetapi lapan misil. Muka mereka hancur langsung tak nampak,” katanya dalam nada sebak.

Beliau turut merakam penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wisma Putra dan Kedutaan Mesir dalam usaha membawanya keluar dari Gaza.

Nurul Ain berkata sekiranya beliau masih berada di Gaza, dia tidak dapat membantu memandangkan tiada stok makanan dan juga selimut.

“Lebih baik saya keluar dari Gaza untuk saya ambil langkah seterusnya. Insya-Allah,” katanya.

Ditanya perancangannya untuk membantu rakyat Palestin, Nurul Ain berkata beliau akan berikhtiar untuk menghantar bantuan dengan memindahkan sumbangan yang diterima ke Dubai.

“Kita akan cari penyelesaian lain untuk hantar (bantuan). Pindahan (sumbangan) ke Dubai dan berurusan dengan pemborong di sana. Semoga Allah permudahkan,” katanya.

Sementara itu, bapa Nurul Ain menzahirkan kesyukuran atas kepulangan anaknya dengan bantuan Kerajaan Malaysia dan Mesir.

“Mula-mula terasa menakutkan dengan perkataan genosid (di Gaza) tetapi melihat Nurul Ain buat amal bakti, sejuk hati sebagai seorang ayah. Lihat wajah dia begitu kuat jati dirinya jadi sebagai ayah saya kena lebih kuat supaya semangat dia tidak turun,” katanya.

Turut menyambut Nurul Ain adalah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan pegawai Wisma Putra.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

– BERNAMA


Pengarang :