Keadaan bangunan di semenanjung Gaza yang musnah susulan serangan udara tentera Israel pada 8 Oktober 2023. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia
AGENDAGLOBAL

Rakyat Palestin rai pembebasan tahanan wanita, kanak-kanak dari penjara Israel

BEITUNIA, 25 NOV: Percikan bunga api menyambut pembebasan wanita dan kanak-kanak dari penjara Israel sebagai pertukaran pertama tebusan yang dibebaskan oleh Hamas di Gaza.

Orang ramai di seluruh Tebing Barat turut dilihat bersorak dan mengibarkan bendera Palestin dan Hamas, serta selendang kaffiyeh selepas dua gerabak putih, yang diiringi dengan kenderaan berperisai, keluar dari kem tentera Ofer bersama tahanan.

“Saya gembira tetapi pembebasan saya juga datang daripada harga darah syuhada,” kata Marah Bakir, 24, yang merujuk kepada hampir 15,000 kematian di seluruh Semenanjung Gaza yang didakwa kerajaan pimpinan Hamas disebabkan oleh serangan tentera Israel.

Beliau, yang ditahan selama lapan tahun, berkata kebebasan daripada ‘dikelilingi empat dinding penjara’ adalah ‘kemegahan’.

“Saya menghabiskan penghujung zaman kanak-kanak dan masa remaja saya di penjara, jauh daripada ibu bapa dan pelukan mereka.

“Begitulah keadaannya dengan negeri yang menindas kita,” katanya kepada AFP selepas pulang ke rumah keluarganya di Beit Hanina di timur Baitulmaqdis.

Dalam perjanjian gencatan senjata untuk menghentikan pertempuran di Gaza, seramai 39 banduan sudah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel, selepas Hamas menyerahkan 13 tebusan dari Israel, lapor Berita Harian.

Serangan pada 7 Oktober oleh Hamas ke atas warga Israel selatan menyebabkan 1,200 orang terkorban – menjadikan angka kematian terburuk sejak pencerobohan Israel pada 1948 – menurut pihak berkuasa Israel.

Di pihak Palestin, pegawai mereka mengatakan lebih ramai orang meninggal di Gaza dalam serangan Israel, berbanding semasa dua peperangan terdahulu.

Hanan Al-Barghouti, 58, yang dibebaskan selepas dua bulan dalam tahanan Israel turut memuji sayap bersenjata Hamas dan penduduk Gaza.

“Semoga Allah membalas mereka dengan baik bagi pihak kami. Jika bukan kerana penduduk Gaza, kita tidak akan nampak kebebasan.

“Kami berada di dalam penjara, menelan kepahitan. Mereka sadis, menghina kami dan memalukan kami, tetapi kami kekal bangga dan maruah kami meningkat, berkat penentangan,” katanya.

Banduan Palestin yang memakai baju kelabu diarak di Beitunia di Tebing Barat yang diduduki di hadapan penduduk, malah ramai daripada mereka menangis.

Sebelum dibebaskan, kepulan asap putih turut memenuhi udara berhampiran penjara apabila pihak berkuasa Israel melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tiga orang ditembak dan dicederakan oleh pasukan keselamatan Israel.

“Polis Israel berada di rumah kami dan menghalang orang ramai daripada datang menemui kami,” kata Fatina Salman, ibu kepada Malak, 23, yang ditahan dalam perjalanan ke sekolah pada 2016 kerana cuba menikam seorang pegawai polis di Baitulmaqdis.

Dia tidak sepatutnya dibebaskan sehingga 2025 tetapi dikembalikan dengan penuh kebanggaan di kawasan kejiranannya di Beit Safafa.

Menurut Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin, di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967, lebih 200 rakyat Palestin sudah dibunuh oleh tentera dan peneroka Israel sejak serangan 7 Oktober.

– AFP


Pengarang :