AGENDAJENAYAH

Remaja terlibat kes cubaan samun pemandu e-panggilan dibebas dengan jaminan polis

SUNGAI PETANI, 29 NOV: Remaja lelaki berusia 13 tahun yang terbabit dalam kes cubaan samun pemandu e-panggilan Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata setakat ini siasatan kes itu telah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan membabitkan kes cubaan samun oleh remaja lelaki berusia 13 tahun telah selesai dan remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan polis…remaja itu direman sehari bagi membantu siasatan dan tempoh reman berakhir semalam.

“Kami membebaskannya hari ini sementara menunggu keputusan lanjut daripada pejabat timbalan pendakwa raya selepas menyiapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan remaja lelaki terbabit bertindak mengacukan pisau terhadap seorang pemandu e-panggilan dalam cubaan samun di Taman Keladi dekat sini, jam 6 petang, Isnin lalu.

Pemandu e-hailing yang juga warga emas berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan sebaliknya bertindak menggigit tangan suspek dan merampas pisau tersebut sebelum remaja itu turun dari keretanya dan melarikan diri.

Tindakan remaja berkenaan dirakam menerusi kamera ‘dashboard’ yang dipasang pada kereta pemandu e-panggilan terbabit dan video berdurasi satu minit 32 saat itu tular di media sosial.

– BERNAMA


Pengarang :