Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan (tengah) merasmikan Program Rumpun Selangor D’ Desa Daerah Hulu Langat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat pada 11 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rumpun Selangor D’Desa semarak semangat kekitaan rakyat berbilang kaum

HULU LANGAT, 11 NOV: Penganjuran program Rumpun Selangor D’Desa peringkat daerah Hulu Langat hari ini menyemarakan lagi semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan juga yakin penganjurannya menghidupkan semula adat dan tradisi bermasyarakat seperti rewang dan bergotong-royong.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan bercakap kepada Media Selangor selepas merasmikan Program Rumpun Selangor D’ Desa Daerah Hulu Langat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat pada 11 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program hari ini mengembalikan suasana zaman dahulu seperti rewang di waktu majlis perkahwinan, ada aktiviti gotong-royong di taman perumahan yang membina hubungan kekitaan.

“Program hari ini juga menyatukan pengunjung melalui aktiviti sukan, persembahan tarian, muzik tradisional dan makanan,” katanya ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, di sini.

Orang ramai menyertai pertandingan Dam Aji sempena Program Rumpun Selangor D’ Desa Daerah Hulu Langat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat pada 11 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Muhamad Hafiz Mohd Nasir berkata program berkenaan mendapat sambutan penduduk dan menjangkakan lebih 2,000 mengunjungi program yang berakhir petang ini.

Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Muhamad Hafiz Mohd Nasir. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program hari ini menyatukan pelbagai bangsa termasuk dihadiri Orang Asli dan Jawa. Pengunjung disajikan dengan hidangan tradisi rendang Melayu Mandailing dan nasi minyak yang dimasak secara rewang.

“Sambutan amat mengalakkan, ramai yang teruja bermain sukan tradisional, seperti timbang buli tangkis berwarna, congkak, dam haji dan menganyam ketupat,” katanya.

Selain itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah dan orang ramai berpeluang berkunjung ke pameran pelbagai agensi seperti Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Orang ramai tertarik melihat pameran di reruai Jabatan Penjara Kajang sempena Program Rumpun Selangor D’ Desa Daerah Hulu Langat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat pada 11 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :