Wakil setiap Pasukan bergambar selepas majlis cabutan undian Piala Liga Juara Selangor (SCL 2023) bagi edisi ketujuh anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Sunway Resort Hotel pada 18 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

SCL 2023: Sijangkang City belasah Najmi SFFC 5-0, kekal pendahulu

SHAH ALAM, 6 NOV: Sijangkang City FC mengukuhkan cengkaman di persada kumpulan B selepas membelasah Najmi SFFC Kota Damansara 5-0 dalam perlawanan keenam Liga Juara Selangor (SCL 2023), kelmarin.

Skuad kendalian Zamri Hassan membuka jaringan di Arena MBSJ, Subang Jaya pada minit ke-32 menerusi Faiz Zikri diikuti dua gol M Terence, Manaf Mamat dan Hariz Fazrin masing-masing satu gol pada babak kedua.

SFC Youth turut berjaya melakar kemenangan kedua musim ini menewaskan MBSA FC 2-0 hasil jaringan Faizal Abdul seawal minit keenam dan Danish Alif pada minit ke-28.

Dua lagi perlawanan dalam kumpulan sama antara Kelana United-NPNG Damansara Perdana dan AAK FC Puncak Alam-Kajang Northern Merbau FC berkesudahan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, Kampong Bharu Boss FC memperbaiki kedudukan dalam kumpulan A selepas menang tipis 2-1 menewaskan Ampang Ukay Positive FC semalam.

Ketinggalan 0-1 pada minit kesepuluh menerusi jaringan Faes Hakimi, skuad bimbingan Faiirose Salim berjaya bangkit pada babak kedua, menerusi jaringan Alif Izwan dan gol lewat permainan Ridhwan Johan.

Ingress KL FC juga terus cemerlang mengutip mata selepas bangkit mengikat Tebuan FC Kg Pinang 2-2 menerusi jaringan Danesh Saravanan dan Haedar Abd Halim pada babak kedua.

Dua lagi perlawanan kumpulan A antara Klang Frenz United-Gombak FA dan KKB Brotherhood FC-Kru Port Klang ditangguhkan akibat hujan lebat dan dijadual semula pada 9 November.


Pengarang :