Kakitangan Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mendengar pembentangan Belanjawan Selangor 2024 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 10 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDASELANGOR

Selangor hasrat tubuh suruhanjaya tingkat perkhidmatan PBT

SHAH ALAM, 10 NOV: Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan bakal ditubuhkan tahun hadapan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan termasuk tempoh respon terhadap aduan rakyat.

Dijangka dibentuk pada suku ketiga 2024, Dato’ Menteri Besar berkata proses pembentukan suruhanjaya itu akan dibahaskan dalam Sidang Dewan Negeri kali ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhannya bagi mewujudkan bandar berdaya huni dan mampan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri paling bersih.

Selangor mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Malaysia yang kini sudah mencecah 7 juta. Antara cabaran utama urbanisasi adalah aspek seperti kepesatan penduduk, pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan jalan, pembersihan longkang dan persekitaran.

“Selain mewujudkan bandar yang berdaya huni dan mampan di setiap PBT, saya ingin melihat Selangor menjadi negeri yang paling bersih persekitarannya. Pengurusan sisa harus diperkukuhkan dan kita tidak boleh ambil sikap leka. Orang yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab akan diambil tindakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini hari ini.


Pengarang :