Projek infrastruktur sedang giat disiapkan di tapak perumahan terbengkalai pembesaran Kampung Koskan Bandar Serendah, Hulu Selangor pada 23 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Senarai hitam ahli lembaga pengarah, pemaju terlibat projek rumah terbengkalai

SHAH ALAM, 15 NOV: Ahli lembaga pengarah dan pemaju yang terlibat dalam 176 projek perumahan terbengkalai di Selangor bakal disenarai hitam, meski hanya berperanan sebagai pemegang syer.

EXCO perumahan menegaskan pihaknya sudah mendapatkan nama mereka daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenarai hitam dan diedar kepada pihak berkuasa tempatan.

“Kita mahu memastikan mereka ini tidak terlibat dengan syarikat pemaju yang sudah disenarai hitam walaupun mereka hanya ada sebahagian syer.

“Diharap dengan ketegasan Kerajaan Negeri, kita dapat menangani masalah ini (projek perumahan terbengkalai) sekali gus memastikan pemaju berasa lebih bertanggungjawab memajukan perumahan di Selangor seperti diamanahkan,” kata Borhan Aman Shah ditemui di lobi Dewan Annex di sini hari ini.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, ketika menjawab soalan wakil rakyat Dengkil Dato’ Seri Jamil Salleh dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Borhan berkata pemaju diwajibkan mendaftar melalui sistem pendaftaran Lembaga Perumahan Hartanah Selangor sebelum menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang.

Beliau menjelaskan pemaju tidak dibenar melaksanakan sebarang pembangunan di Selangor termasuk membuat permohonan pembangunan tanah jika dikenal pasti sudah disenarai hitam.

Sementara itu, Borhan memaklumkan sebanyak 35,995 unit rumah terbengkalai direkodkan di Selangor setakat ini dengan Gombak mencatat angka tertinggi iaitu 7,792 unit diikuti Klang (5,943).

“Ada beberapa faktor yang menyebabkan terbengkalai (projek perumahan) antaranya isu tanah, premium, pekerjaan dan kewangan,” katanya.

 


Pengarang :