Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berbahas ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Senggara prasarana pelancongan, bantu komuniti desa jana pendapatan

SHAH ALAM, 16 NOV: Kemudahan awam dan pelancongan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua perlu diberi perhatian selepas mengalami kerosakan teruk akibat banjir pada 2021.

Wakil rakyatnya Datuk Johan Abd Aziz berkata tindakan perlu disegerakan susulan terdapat beberapa lokasi pelancongan terkenal mampu menarik ramai pengunjung, sekali gus memacu ekonomi negeri.

Membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024, beliau berkata kebanyakan kawasan itu juga tidak lagi beroperasi seperti dahulu hingga memberi kesan kepada hasil pendapatan peniaga.

Beliau menjelaskan lokasi itu antaranya Sungai Manggis, Sungai Lopo, Sungai Congkak, Sungai Semungkis dan Air Terjun Sungai Gabai yang perlu segera diselenggara.

“Jumlah pengunjung semakin bertambah pada hujung minggu, musim cuti persekolahan dan juga musim perayaan. Kedudukan yang tidak jauh dari pusat bandar juga menggalakkan orang ramai ke situ.

“Saya menyeru Kerajaan Negeri mengutamakan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan dan awam yang membantu kawasan itu dikomersialkan seterusnya meningkatkan ekonomi komuniti desa,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember 2021 mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini tenggelam dan Dusun Tua antara kawasan terjejas teruk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu, termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

 


Pengarang :