Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan ketika mempengerusikan mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 26 Oktober 2023. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

Siap siaga musim tengkujuh, MBPJ buka bilik gerakan 24 jam

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 29 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersiap siaga dengan keanggotaan dan aset bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang musim tengkujuh yang bermula bulan ini hingga awal tahun depan.

Timbalan Datuk Bandarnya Aznan Hassan berkata pihak berkuasa tempatan itu turut mengaktifkan bilik gerakan bencana yang beroperasi 24 jam sejak 3 November lalu.

“Peranan utama bilik gerakan bencana adalah untuk menerima aduan berkaitan bencana dan penyelarasan tindakan pada peringkat jabatan dalaman.

“Petugas bilik gerakan bencana juga akan menggunakan papan pemuka bencana bagi membantu daripada segi pengoperasian dan pengurusan dengan kadar segera,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan di Menara MBPJ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aznan berkata pihaknya juga bersiap sedia dengan pembelian dua unit bot selain 46 unit kenderaan kecil dan jentera berat sedia ada.

“Selain daripada itu, sebanyak 24 dewan dan balai raya untuk tujuan pusat pemindahan sementara (PPS) juga boleh digunakan pada bila-bila masa bagi menempatkan mangsa bencana,” katanya lagi.

 


Pengarang :