Orang ramai mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SIBS rekod RM6.12 bilion nilai transaksi, empat kali ganda sasaran awal

SHAH ALAM, 16 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang berlangsung bulan lalu merekodkan nilai transaksi pelaburan RM6.12 bilion, maklum EXCO pelaburan.

Ng Sze Han menjelaskan peningkatan empat kali ganda berbanding sasaran RM1.5 bilion turut menerima kehadiran 57,249 pelawat, juga melebihi jangkaan awal seramai 50,000 pengunjung.

“Negeri merancang pelbagai misi dan program untuk menarik lebih ramai pelabur antaranya SIBS yang mendapat sambutan sangat baik. Ini menjadikan Selangor sebagai destinasi pelabur asing,” katanya.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor, beliau berkata pentadbiran negeri juga merancang pembinaan taman aero bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Sze Han, perbincangan bersama pemaju tanah dan pemain industri sudah bermula sebagai sebahagian usaha Kerajaan Selangor menarik lebih banyak potensi pelaburan ke negeri ini.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Perancangan untuk meningkatkan kadar pelaburan antarabangsa terangkum dalam aspek penyediaan polisi seperti Rancangan Selangor Pertama dan SIBS dan Pameran Udara Selangor,” katanya.

SIBS yang diperkenal pada 2016 menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Sidang bertaraf antarabangsa itu turut disertai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Majlis Amanah Rakyat dan Jabatan Perikanan Malaysia.

China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia antara negara luar yang mengambil bahagian dalam penganjuran antara 19 hingga 22 Oktober.


Pengarang :