Sebahagian gerai di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson yang terbakar kejadian pada 11 November 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan
AGENDANASIONAL

Suami isteri tanggung rugi hampir RM40,000 gerai makanan terbakar

PORT DICKSON, 12 NOV: Sepasang suami isteri menanggung kerugian kira-kira RM40,000 selepas dua premis perniagaannya terbakar, dalam kejadian di Dataran Teluk Kemang, di sini semalam.

Nur Ayu Naziera Abdullah, 21, yang ditemui pemberita di lokasi berkata ketika kejadian, dia dan suaminya Aliff Akram Ahmed, 23, masih berada di kawasan itu dan sedang berkemas untuk menutup gerai makanan, selain masih terdapat beberapa pelanggan yang makan.

“Dari petang kami dah bau macam getah terbakar, cari juga kat mana tapi tak jumpa, lepas maghrib tengok api di kedai sebelah yang sudah lama tidak beroperasi. Antara yang musnah termasuk beberapa peti ais, peti sejuk beku dan alatan kedai.

“Mungkin angin yang kuat ketika itu juga menyebabkan tak sampai lima minit kedai terbakar, keadaan berlaku sekelip mata, tak sempat nak selamatkan barang lain, cuma sempat tarik tong gas,” katanya yang baharu enam bulan berniaga minuman, manakala suaminya mengusahakan gerai makanan segera sejak lima tahun lepas.

Nur Ayu Naziera berkata perniagaannya tetap diteruskan pada hari ini di lokasi sementara berdekatan gerainya, berikutan ia merupakan mata pencarian utama keluarga selain kedatangan pengunjung yang ramai pada musim cuti.

Seorang lagi peniaga Siti Hajar Abd Talib, 51, berkata dia mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat kebakaran itu termasuk wang ‘tukar’ RM1 bernilai lebih RM2,000, yang diletakkan dalam peti ais yang tidak lagi digunakan.

“Saya cuba untuk menyelamatkan wang berkenaan, bagaimanapun dihalang oleh anak susulan keadaan api ketika itu sudah mulai marak. Cuti sekolah ini memang dah sedia stok jualan yang banyak, namun saya reda, mungkin ada rezeki lain lepas ini,” kata peniaga gerai buah-buahan itu.

Penasihat Persatuan Penjaja Pantai Teluk Kemang Nor Azila Abdul Hamid pula berkata kejadian berkenaan merupakan kali kedua berlaku di kawasan itu, dengan kejadian pertama pada tahun 2019 membabitkan 16 gerai makanan musnah.

“Kita dah lama tak ada orang sangat kat pantai, bila cuti, peniaga ambil kesempatan beli barang. Ada yang berhutang untuk beli modal meniaga, kalau tak berniaga macam mana nak bayar. Harap pihak berkuasa tempatan dapat uruskan segera masalah ini, bagi membantu peniaga mencari rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Penguasa Kanan Bomba 2 Jelani Ahad berkata pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci, bagi mengenal pasti punca kebakaran dan akan mengeluarkan laporan dalam masa 14 hari.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama peniaga, untuk menyediakan alat pemadam api di setiap premis masing-masing serta tahu menggunakannya, bagi mencegah kebakaran supaya tidak merebak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli berkata pihaknya akan mengenal pasti pemilik sebenar gerai berkenaan serta tahap kerosakan, sebelum menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

Dalam kejadian kebakaran itu semalam, empat gerai makanan musnah 100 peratus manakala lima lagi terbakar 25 peratus, serta tidak membabitkan kemalangan jiwa.

– BERNAMA


Pengarang :