Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis Pelancaran laman web Jais dan sumbangan dana Palestin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 24 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor lancar laman e-khutbah, kumpul koleksi sepanjang 23 tahun

SHAH ALAM, 24 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan merasmikan laman web khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah laman web e-khutbah.jais.com.my mengumpulkan koleksi 23 tahun khutbah yang dibaca setiap Jumaat, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta Solat Sunat Gerhana dalam tulisan jawi, rumi dan Inggeris.

“Khutbah sangat penting sebagai medium ulil amri untuk menyampaikan ajaran agama Islam dengan tepat dan bertanggungjawab dan menjadi platform menambah ilmu, kefahaman dan perlaksanaan agama Islam berkaitan akidah, syariah dan akhlak.

“Khutbah turut memberi pendekatan yang dituntut Islam terhadap isu dan permasalahan semasa yang berlaku selain menjadi media dakwah lisan yang sangat luas liputannya,” titah Baginda menerusi kenyataan selepas pelancaran.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jais Dato’ Shahzihan Ahmad.

Sultan Sharafuddin yakin laman akan menjadi rujukan golongan ilmuan, guru, pelajar dan pendakwah selain untuk mereka yang tidak berkesempatan menunaikan solat Jumaat serta kaum wanita.

“Tahniah dan terima kasih atas kerja dijalankan jawatan kuasa khutbah negeri dan berpuas hati serta berbangga dengan mutu khutbah dihasilkan. Beta mengharapkan penghasilan khutbah berkualiti ini dapat diteruskan,” titah Baginda.


Pengarang :