Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmi dan menyampaikan titah ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 25 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor mahu UPM terus main peranan, pacu bidang pertanian

SERDANG, 25 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memainkan peranan bagi memacu bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu bagi membantu kerajaan menangani isu bekalan dan peningkatan harga makanan yang dihadapi negara ketika ini.

“Bidang pertanian masih kekal menjadi bidang utama universiti ini. Sebagai institusi pendidikan yang mewarisi legasi pertanian, UPM memainkan peranan yang besar untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang pertanian,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah pada majlis Konvokesyen UPM ke-47 sidang kedua sesi satu di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Baginda menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan universiti terbabit menghasilkan kertas resolusi bagi memastikan kelestarian dan daya tahan keterjaminan makanan negara dalan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023.

Sultan Sharafuddin juga bangga apabila UPM diamanahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Ketua Projek Penyelidikan Transnasional 2023 bagi Bidang Fokus Keterjaminan Makanan.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM turut gembira apabila universiti itu menerima dana hampir RM1 juta daripada Agrobank untuk Projek Pembangunan Belia Tani dalam kalangan siswazah melalui Program Agrobank Inkubator.

“Pelajar terpilih telah memulakan projek merangkumi Modul Usahawantani Tanaman Melon, Cili dan Ternakan Burung Puyuh,” titah Baginda.

Selain itu, Tuanku bertitah peranan UPM diiktiraf melalui peruntukan RM35 juta yang diperuntuk Kementerian Ekonomi bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian IPR-INTAN@UPM membabitkan pembinaan infrastruktur pertanian moden dan melaksanakan program latihan kepada peserta.

“Tumpuan program latihan adalah sektor tanaman pertanian dan akuakultur yang bakal dimanfaatkan oleh empat puluh peratus graduan universiti,” titah Baginda lagi.


Pengarang :