Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lajan Pua Pei Ling berbahas ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tabung Palestin, setiap ahli dewan negeri disaran sumbang RM5,000

SHAH ALAM, 16 NOV: Semua ahli dewan negeri (ADN) Selangor tanpa mengira parti disaran menyumbang RM5,000 seorang bagi membantu rakyat Palestin.

ADN Bukit Lanjan Pua Pei Ling berkata sumbangan boleh dihulur menerusi pembentukan tabung dana yang dikelola Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San.

“Saya cadangkan kepada Dato’ Menteri Besar, barisan EXCO dan semua ahli dewan tanpa mengira parti untuk sama-sama membentuk satu tabung DNS dengan sumbangan RM5,000 seorang.

“Jika ini dapat direalisasikan, DNS akan jadi dewan pertama yang menyumbang RM280,000 untuk kegunaan dan manfaat mangsa di Gaza,” katanya ketika sesi perbahasan sidang DNS hari ini.

Beliau berkata walaupun kesengsaraan itu berlaku jauh beribu kilometer, namun semua pemimpin negeri ini harus memainkan peranan kerana ia melibatkan isu kemanusiaan.

“Di saat kita berkumpul di dewan ini, laungan perit meminta pertolongan tidak terputus di dengar di sana. Pada waktu ini, ambulans di sana tidak lagi dapat bergerak dan penduduk dikepung di semua arah.

“Bekalan air, makanan, elektrik, hospital diletupkan oleh Zionis di Gaza. Kita sedang mengalami krisis kemanusiaan yang paling teruk dalam peradaban manusia bertamadun,” katanya.

Pada 27 Oktober, Kerajaan Negeri menyerah sumbangan RM1 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) hari ini bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat negara itu.

Simbolik penyerahan disempurnakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan menyerahkan cek cura kepada Setiausaha bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negari Datuk Zahairi Baharim di bangunan pentadbiran negeri (SUK) di sini.


Pengarang :