Keadaan cerun yang runtuh di Taman Ehsan Ibu, Sungai Choh, Rawang pada 24 November 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor
PBTSELANGOR

Tanah runtuh: Pemaju perumahan di Sungai Choh diarah segera stabilkan cerun

SHAH ALAM, 27 NOV: Pemaju perumahan di Jalan Bunga Raya 3, Taman Ehsan Ibu, Sungai Choh, Rawang diarah menyegerakan kerja penstabilan cerun bagi mengelak runtuhan tanah berulang.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) turut mengeluarkan notis arahan kepada pemaju untuk menyiasat keadaan cerun dalam lot pembangunan di kawasan terbabit.

“Siasatan ke kawasan perumahan Taman Ehsan Ibu (Jalan Bunga Raya 3) mendapati terdapat satu runtuhan tanah yang telah menutupi longkang di bahu jalan itu.

“Jabatan Kejuruteraan MPHS telah mengarahkan pemaju untuk membantu dan menyegerakan tindakan sewajarnya,” katanya menerusi Facebok.

Keadaan cerun yang runtuh di Taman Ehsan Ibu, Sungai Choh, Rawang pada 24 November 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor

Dalam pada itu, MPHS memaklumkan Panca Rasmi Sdn Bhd sudah memasang penutup permukaan cerun jenis fabrik geotekstil (perlindungan tanah) di belakang rumah lot 1883, iaitu lokasi tanah runtuh yang berlaku pada malam 24 November.

Kenyataan itu menjelaskan MPHS bertindak segera bagi mengelak air larian hujan dari terius memasuki runtuhan yang boleh menambah beban tanah.

“Siasatan menyeluruh ke atas runtuhan tanah akan dilakukan Panca Rasmi bermula hari ini untuk memastikan keadaan tanah tidak mendatangkan bahaya kepada pemilik rumah terlibat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kejadian jam 9 malam berkenaan mengakibatkan ‘apron’ lantai belakang rumah pemilik pecah, longkang belakang rumah ditutupi tanah selain bumbung bahagian dapur pecah akibat dihempap pokok.


Pengarang :