Penerima Pingat Razlan Putra, Jonathan Nyepa (kiri) dan Penerima Pingat Emas Canselor, Sharifah Norziana Sayed Salleh bergambar bersama sijil penghargaan selepas Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 25 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tangguh pengajian tiga semester, atlet olahraga akhirnya genggam ijazah

SERDANG, 25 NOV: Kesibukan latihan sebagai atlet olahraga negara tidak menghalang Jonathan Nyepa untuk menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selepas enam tahun mengikuti pengajian Jurusan Sains Pembangunan Sumber Manusia, atlet berusia 27 tahun itu bangga apabila berjaya menggenggam gulungan ijazah pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 di sini hari ini.

Jonathan Nyepa

Malah beliau tidak menyangka dipilih sebagai penerima pingat Razlan Putra yang disampaikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selepas mempamer prestasi cemerlang dalam bidang akademik serta kokurikulum.

“Saya tidak pernah terfikir untuk dapat anugerah ini sebab niat saya masuk universiti adalah memberi tumpuan terhadap pelajaran walaupun berdepan cabaran menyeimbangkan waktu belajar dan latihan.

“Jurulatih banyak bantu saya. Biasanya beliau akan tengok dulu jadual kelas saya sebelum buat jadual latihan dan latihan apa yang saya perlu jalani pada minggu tersebut.

“Jika ada kejohanan penting termasuk latihan di luar, saya terpaksa tangguh semester tersebut. Saya pernah tangguh tiga semester disebabkan kekangan ini, tetapi saya masih boleh teruskan pengajian pada semester berikutnya,” katanya.

Untuk rekod, anak ketiga daripada empat beradik itu mempertahankan pingat emas acara pecut 100 meter pada Kejohanan Varsiti Padang dan Trek (VTF) Grand Final 2023 pada 19 November dengan catatan 10.66 saat.

Pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu, anak kelahiran Sungai Asap, Belaga, Sarawak turut membantu pasukan negara meraih gangsa acara 4×100 meter dengan catatan 39.36 saat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmi dan menyampaikan titah ketika Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Serdang pada 25 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Sharifah Norziana Sayed Salleh mengakui minat mendalam terhadap jurusan yang diambil di UPM selain penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan melayakkannya meraih pingat Emas Canselor dan graduan terbaik.

Sharifah Norziana Sayed Salleh

Anak bongsu daripada empat beradik berusia 24 tahun berkata dia sememangnya meminati bidang pendidikan dan bimbingan kaunseling selain bercita-cita menjadi guru.

“Jika kita mahu berjaya, kita kena ada minat dan jiwa dengan apa yang kita belajar kerana minat itulah yang akan sentiasa mendorong kita mencapai sesuatu dengan lebih baik.

“Alhamdulillah, atas dasar itu saya menerima anugerah ini walaupun ia sebenarnya kejayaan yang tidak pernah diimpikan. Kerja keras saya, doa ibu bapa, pertolongan sahabat dan tunjuk ajar pensyarah membantu perkembangan saya di sini,” katanya yang kini bertugas di sebuah sekolah antarabangsa di ibu kota.

Seramai 6,051 graduan UPM pelbagai peringkat pengajian diraikan pada istiadat sidang dua hingga 30 November membabitkan 520 graduan PhD, Sarjana (1,532), Bacelor (3,988) dan Diploma (11).


Pengarang :