Bandar Sunway yang terkenal sebagai sebuah kawasan pelancongan di Bandar raya Subang Jaya dilengkapi pusat membeli-belah Sunway Piramid, Sunway Resort Hotel and Spa, Pusat Perubatan Sunway dan Universiti Sunway. Foto ihsan Sunway
ADNSELANGOR

Tawar tubuh Majlis Kemahiran Kerja Selangor di Subang Jaya, sasar 100,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 15 NOV: Wakil rakyat Subang Jaya mencadangkan supaya Majlis Kemahiran Kerja Selangor ditubuhkan di kawasannya bagi mencapai sasaran tawaran 100,000 peluang kerja bergaji tinggi tahun depan.

Michelle Ng Mei Sze berkata ini berikutan Dewan Undangan Negeri Subang Jaya menerima kemasukan serta penghijrahan sehingga 250,000 pelajar dari seluruh negara menerusi lapan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze ketika usul menjunjung kasih titah Tuanku pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas tahun 2023 pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Antaranya Universiti Sunway, Kolej INTI, Kolej SEGI, Universiti Taylor’s dan Universiti Monash. Kebanyakan IPTS mempunyai program berkembar yang memerlukan pelajar menghabiskan pengajian di sini dan luar negara.

“Jadi mereka akan mencari kerja yang berpendapatan lumayan apatah lagi selepas mengambil kira kadar pertukaran mata wang. Kerajaan Negeri perlu menjadi pengantara dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada pelajar ini sebelum mereka tamat pengajian, atau melanjutkan pelajaran ke luar negara,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Membahaskan rang undang-undang Enakmen Perbekalan 2024, Michelle turut menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semula syarat penubuhan pusat asuhan, taska atau tadika bagi mengelakkan premis beroperasi secara haram.

Beliau menjelaskan, berdasarkan syarat itu pusat jagaan perlu dibina menggunakan bangunan rumah tepi (corner lot) serta memerlukan pelan susun atur sekali gus mereka perlu mengeluarkan kos mengupah arkitek.

“Mereka perlu mengubahsuai rumah untuk membina akses bomba alternatif, memastikan pematuhan kepada keperluan Kementerian Kesihatan dan sebagainya.

“Yang mengasuh dua atau tiga orang anak juga tertakluk kepada syarat sama. Akhirnya, banyak pengasuh beroperasi secara haram. Telah tiba masa syarat PBT ini disemak semula supaya lebih realistik tanpa menjejaskan keselamatan kanak-kanak. Selangor harus menerajui perubahan ini,” katanya.


Pengarang :