Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila pada 21 Oktober 2023 merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al Quds di Gaza daripada ancaman serangan Israel. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Tentera Israel lancar operasi di Hospital Al Shifa, ribuan orang awam terperangkap

GAZA, 15 NOV: Tentera Israel berkata ia sedang menjalankan operasi terhadap Hamas di Hospital Al Shifa di Semenanjung Gaza hari ini dan menggesa anggota kumpulan pejuang di hospital itu menyerah diri.

Kurang sejam sebelum itu, jurucakap kementerian kesihatan Gaza berkata Israel memberitahu pegawai di kawasan itu bahawa ia akan menyerbu kompleks hospital Shifa “dalam beberapa minit akan datang.”

Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, pasukan IDF sedang menjalankan operasi yang tepat dan disasarkan terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Shifa.”

Tentera berkata: “Pasukan IDF termasuk pasukan perubatan dan penutur bahasa Arab, yang telah menjalani latihan khusus untuk mempersiapkan diri menghadapi persekitaran yang kompleks dan sensitif ini, dengan tujuan supaya tiada bahaya ditimbulkan kepada orang awam.”

Sebelum ini Israel menuduh Hamas mempunyai pusat kawalan di bawah Hospital Al Shifa, yang terbesar di Gaza, dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan. Hamas menafikannya.

Selasa lalu Amerika Syarikat (AS) berkata perisikannya sendiri menyokong kesimpulan berkenaan.

Lima minggu selepas Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan, nasib Al Shifa telah menjadi tumpuan penggera antarabangsa kerana keadaan semakin teruk di kemudahan itu.

Kakitangan perubatan berkata hospital itu hampir tidak berfungsi kerana serangan Israel dan kekurangan bahan api untuk penjana kuasa.

Tentera Israel melancarkan pertempuran jalanan yang sengit terhadap pejuang Hamas sejak 10 hari lalu sebelum mara ke pusat Gaza City dan sekitar Al Shifa.

Menurut Hamas 650 pesakit dan 5,000 hingga 7,000 orang awam lain terperangkap di dalam kawasan Hospital Al Shifa, di bawah tembakan berterusan daripada penembak tepat dan dron Israel, lapor Berita Harian.

Di tengah kekurangan bahan api, air dan bekalan, 40 pesakit meninggal dunia dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Seramai 36 enam bayi ditinggalkan dari wad neo-natal selepas tiga daripada mereka meninggal dunia.

Rakyat Palestin yang terperangkap di hospital menggali kubur besar-besaran semalam untuk mengebumikan pesakit yang meninggal dunia dan tiada rancangan untuk memindahkan bayi walaupun Israel mengumumkan tawaran menghantar inkubator mudah alih, kata jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra.

Qidra berkata terdapat kira-kira 100 mayat reput di dalam dan tiada cara untuk mengeluarkannya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sangat terganggu dengan “kehilangan nyawa dramatik” di hospital, kata jurucakapnya.

“Atas nama kemanusiaan, setiausaha agung menyeru gencatan senjata kemanusiaan segera,” kata jurucakap itu kepada pemberita.

Pegawai perubatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata lebih 11,000 orang disahkan maut akibat serangan Israel, kira-kira 40 peratus daripadanya kanak-kanak, dan ramai lagi yang terperangkap di bawah runtuhan.

Kira-kira dua pertiga daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, tidak dapat melarikan diri dari wilayah yang mana makanan, bahan api, air tawar dan bekalan perubatan kehabisan.

– REUTERS


Pengarang :