BUDAYARENCANA

Tersorok di sebalik bayang al-Aqsa

Oleh Arif Mustaqim Md Salleh

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Wanita memakai abaya hitam duduk di atas dua kakinya, terlipat di bawah paha.

Lehernya ditutupi syala kelabu berbingkai benang putih, tunduk penuh khusyuk. Sebentar diusap pipinya dengan kain syala itu. Air mata mengalir di pipi. Wanita itu menangis.

Doktor Amira Yousef, pendidik dan pendakwah yang amat berjasa baik di wilayah utara Gaza dan di institusi-institusi pengajian di Jabalia. Tetapi, di hadapan kiblat pertama umat Islam, dia teresak-esak menangis seperti anak kecil dalam kekaguman, sedih dan pilu. Namun, dia terus berdoa.

Pagi Jumaat yang berkat itu seperti hari-hari lain, kawasan Baitulmuqaddis dibanjiri manusia sejak pagi. Matahari menjunamkan sinarnya dengan keras, namun setiap jemaah – baik yang sedang melakukan solat sunat, berzikir atau membaca al-Quran di dalam Masjid al-Aqsa, tidak langsung menghiraukan orang sekeliling. Mereka khusyuk dan takwa mencari keampunan dan keredaan.

Dia adalah ratusan manusia berteleku di bawah bayangan al-Aqsa mengubati hati yang marah, memohon kedamaian jiwa yang menderita. Hanya di sini segala-gala diharap akan luput, dalam doa kepada tuhan.

Selesai membaca doa, tangannya perlahan-lahan jatuh. Dia tunduk. Ingatan yang bercelaru tadi kembali tenang. Dia berpaling ke kiri lalu dan tersentak melihat tubuh berselimut kain lusuh. Kepala bertudung litup, wajahnya sukar dikenali. Orang itu duduk di sebelahnya.

“Assalamu’alaikum!”

Dia menghulur tangan untuk bersalam. Tetapi orang itu tidak menjawab salamnya, tangannya juga tidak disambut. Aneh, salam tidak dijawab, tangan juga tidak dijabat. Pasti orang itu bukan daripada golongan Muslimin. Duduknya pun kelihatan kekok. Bukan seperti duduknya orang Muslimin berhampiran rumah suci yang ketiga besar fadilatnya ini.

“Siapakah kamu ini, malaikat atau syaitan?” Dia berterus-terang, tubuh itu masih tunduk seperti mahu menyembunyikan identitinya.

Ruang legar di tepi Masjid al-Aqsa yang mengelilingi bukit batu terus didakap sepi yang dingin dalam dinihari. Beberapa lampu yang terpasang hanya memancarkan cahaya suram dan samar.

“Siapakah kamu ini?”

“Tunjukkan wajahmu, sama ada kamu malaikat yang turun dari langit atau syaitan?” Suaranya mulai keras sehingga tubuh itu tersentak memandang ke arahnya. Kemudian, lilitan kain tebal yang membalut mukanya perlahan dirungkai. Wajah terdedah.

“Err kau, Golda Meir?”

Tika ini dia pula yang disula gugup. Tergawang-gawang tangannya tidak tentu arah. Sekujur tubuh dan wajah perempuan itu amat cengkung, pucat bagaikan sekujur rangka. Sebuah senyuman dibibir terlalu kering terlontar bersama-sama anggukan yang daif, di hujung gugup.

“Tapi, tapi …. Golda Meir, Perdana Menteri Israel Wanita itu, sudah mati. Rakyat Israel sangat berduka atas pemergian itu, sekarang mungkin mereka sudah lupa kerana kepimpinan sudah berubah banyak kali daripada Rabin, Peres, Barak, Sharon dan Netanyahu. Bukankah benar kau sudah mati, Golda Meir?”

“Benar!”

“Jadi?”

“Demi Tuhan, aku ke mari untuk menemui kau, wahai Doktor Amira.”

“Untuk apa?”

“Aku sesat di pertengahan jalan. Aku teraba-raba dalam kegelapan mencari arah menuju akhirat.” Golda Meir seperti dalam kelemasan, menggerakkan tangannya ke sekeliling.

Mengeleng-geleng. Tiba-tiba Doktor Amira pecah ketawa. Golda Meir dalam kelemasan itu sebenarnya suatu kelucuan. Ketawanya memanjang berdekah-dekah hingga bekas musuh umat Islam Palestin itu mendongak melihatnya. Ia sembilu tajam yang menikam ulu hatinya sehingga menjadi terlalu pedih.

“Kau sindir aku, Doktor Amira.”

“Aku berasa lucu mendengar ceritamu. Kerana kegagalanmu mencari akhirat berpunca daripada kesilapan kamu dan orang-orang Israel seperti kamu, seperti Rabin, Peres, Barak, Sharon dan Netanyahu.”

“Mengapa begitu rendah anggapanmu terhadap bangsa Israel?”

“Kerana memusuhi Islam dan melakukan kekejaman terhadap orang Islam. Lupakah peristiwa kamu mengusir 415 orang penduduk Palestin dari kampung halaman mereka ke sebuah kawasan yang tiada berpenghuni, gersang, di selatan Lubnan?”

Perempuan itu mengangguk dalam pilu. Ketika itu, dialah Perdana Menteri Israel sebelum diambil alih Yitzhak Rabin. Perempuan itu terus tunduk dalam penyesalan yang panjang. Kedinginan dinihari bertukar bara api.

“Nah, ketika perang enam hari dalam tahun 1967, kau sebagai Presiden yang memberi arahan kepada Angkatan Bersenjata Israel, menyembelih tahanan-tahanan perang Mesir. Lagi-lagi kau lakukan kekejaman terhadap orang-orang Islam. Ramai pejuang Palestin yang mati di tanganmu. Kau bertanggungjawab membunuh ratusan nyawa kanak-kanak, orang tua, pemuda dan wanita hamil yang tidak bersalah!”

“Bukankah tanah ini hak kami?”

“Benar,” balas tubuh itu.

“Alangkah mulianya jika kebenaran ini kau akui ketika kau masih hidup dulu.”

“Doktor Amira, kematian menjadikan aku sedar, menjadikan aku mengerti bahawa Tuhan telah menentukan hak-hak ke atas hambanya, tapi ketika itu aku terpaksa patuh akan dasar Zionis. Aku sendiri sudah bosan dengan persengketaan yang tak pernah selesai. Aku benci kepada peperangan, kerana persengketaan dijadikan alat perniagaan senjata, alat kerakusan nafsu kuasa-kuasa besar. Nah, masyarakat antarabangsa perlu bersatu dan bangun menentang anasir-anasir jahat, ganas yang berbahaya itu.”

Ah, benarlah kematian telah menyedarkan Golda, seorang Zionis yang jahat. Tutur katanya kini bukanlah seperti Golda sewaktu dalam hidupnya.

Amira mengulang sepotong firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 200, ‘Wahai orang- orang beriman! Bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara- perkara yang berkebajikan dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perang dan bersedialah dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.’

“Jadi kau akan menggerakkan usaha-usaha dakwah dalam ceramah dan kuliahmu untuk berperang, wahai Doktor Amira?” Golda bertanya dengan sedikit gugup.”

“Allah perintahkan kita untuk berperang jika kita diperangi.”

Masjid al-Aqsa dan Masjid Omar menjadi saksi perbualan mereka, didepani dua buah gunung dan kota lama yang penuh dengan duri persengketaan sejak 50 tahun lalu. Angin sejuk mendesir, sepi dinihari memeluk Baitulmuqaddis yang disula kemuraman lampu-lampu jalan.

“Golda! apa kau ingat dengan kata maaf, segala kekejaman dan kerakusan kau, Rabin, Peres, Barak, Sharon dan Netanyahu akan kami maafkan?” Amira menggema soalan.

Sepi. Sepi tiada jawapan.

“Golda! Mengapa kini kau diam?”

Sunyi.

“Golda!”

Allahuakbar! Allahuakbar! Azan subuh bergema meniti ruang angkasa Baitulmuqaddis.

 

 


Pengarang :