Jemaah Haji dari seluruh dunia mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di Mekah pada 17 Ogos 2018. Foto AFP
AGENDANASIONAL

TH usaha kawal peningkatan kos tunai haji, meterai kontrak tetapkan harga

SHAH ALAM, 8 NOV: Tabung Haji (TH) berusaha mengawal peningkatan kos menunaikan haji melalui pemeteraian perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan pelbagai perkhidmatan di Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata antara perkhidmatan terlibat termasuklah penerbangan, penginapan dan sajian makanan.

Beliau menjelaskan peningkatan kos susulan peraturan dan cukai baharu diperkenalkan Arab Saudi justeru pemeteraian kontrak jangka panjang dapat menetapkan harga untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 6 November 2023. Foto BERNAMA

“Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan TH ini termasuk kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, kadar tukaran Ringgit Malaysia berbanding Saudi Riyal dan Dollar Amerika.

“Selain itu projek pembesaran berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli GPS-Batang Lupar) yang mahu tahu faktor penyumbang peningkatan kos mengerjakan haji serta kelayakan baharu yang ditetapkan di Dewan Rakyat hari ini.

Suasana ketibaan penerbangan pulang jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 8 Julai 2023. Foto Facebook Bernama

Selain itu katanya pihak berkuasa Arab Saudi turut mengenakan caj bagi pelbagai perkhidmatan disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

“Kenaikan kadar cukai tambah nilai di Arab Saudi dari lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai 2020 juga salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara,” katanya.

Katanya, syarat dan kelayakan mengerjakan haji pada tahun 1445H adalah sama seperti musim haji 1444H melainkan jika ada peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi.

 


Pengarang :