EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohamad Fahmi Ngah menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada arahan halang baca Qunut Nazilah di sekolah

SHAH ALAM, 17 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak pernah mengeluarkan arahan menghalang pelajar sekolah membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

EXCO Agama Islam  Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata agensi keagamaan itu juga tidak menerima apa-apa arahan daripada Kementerian Pendidikan berkenaan larangan membaca Qunut Nazilah.

“Elakkanlah menimbulkan prasangka dan cubaan yang meresahkan dan memecah belahkan. Sebaliknya umat Islam dan bukan Islam perlu disatukan atas nama kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin melawan Zionis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Fahmi berkata Jais telah mengeluarkan pekeliling menyeru semua masjid dan surau mengerjakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah pada rakaat akhir solat Maghrib dan Isyak sejak 26 Oktober lalu.

Menurut wakil rakyat Seri Setia itu, Kerajaan Negeri menerusi Jais juga mewujudkan Tabung Kemanusiaan Palestin dibawah Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) pada bulan lalu.

“Kita sambut baik cadangan Bukit Lanjan semalam supaya semua wakil rakyat menyumbang sebanyak RM5,000 ke tabung kemanusiaan Palestin. Molek jika sumbangan itu diberikan kepada TIJARI,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Jais menubuhkan tabung kemanusian Palestin bagi menyelaras kutipan dana membantu penduduk negara itu selain memastikan tiada pihak membuat penipuan kutipan.

Orang awam disaran menyalur derma ke tabung yang disediakan di masjid dan surau atau terus menyumbang ke akaun Maybank TIJARI menerusi nombor akaun 56210671862, dengan rujukan Pray For Gaza.


Pengarang :