Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga beranak syukur terselamat selepas kereta dipijak sekumpulan gajah

Oleh Mohd Taha Yaacob

JERTIH, 28 NOV: Tiga beranak berdepan detik mendebarkan apabila kereta dinaiki mereka diserang sekawan gajah liar di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli sebelum Hentian Rehat Titiwangsa, dekat sini, Ahad lalu.

Mohd Azian Mohd Noor, 48, berkata ketika kejadian pada 7.30 malam itu, beliau bersama isteri, Salina Yahya, 47, dan anak sulungnya, Muhammad Nazrin Shah, 23, dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang menuju ke rumah mereka di Kampung Gong Kepas, di sini.

“Sebelum kejadian cemas itu, kami dari arah Gerik sedang melalui satu selekoh tajam dalam keadaan hujan renyai dan berkabus.

“Apabila melepasi selekoh itu, tiba-tiba saya dapati terdapat dua ekor anak gajah sedang melintas jalan di hadapan kenderaan kami pada jarak kira-kira 10 meter. Saya juga perasan, di kiri jalan itu terdapat empat ekor lagi gajah dewasa,” katanya ditemui di rumahnya di Taman D’Sri Bangun di sini, hari ini.

Terkejut melihat haiwan itu, beliau lantas menekan brek namun disebabkan jaraknya yang terlalu dekat berlaku perlanggaran antara Perodua Axianya dengan seekor anak gajah.

Perlanggaran itu menurutnya menyebabkan anak gajah itu rebah di atas but keretanya sebelum terjatuh ke jalan raya.

Menjangkakan sesuatu buruk akan berlaku, sejurus selepas itu Mohd Azian berkata empat ekor gajah dewasa tersebut mula menyerang bahagian tepi kiri dan belakang keretanya.

Beliau berkata isterinya yang duduk seorang diri di kerusi penumpang belakang menjerit ketakutan apabila kumpulan gajah itu menolak pintu kereta serta memecahkan cermin belakang.

“Kejadian itu amat menakutkan kerana gajah tersebut mengeluarkan bunyi kuat malah tidak mustahil dengan kekuatannya itu ia boleh terbalikkan kereta kami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Kampung Raja.

Bagaimanapun, sebaik isterinya melaungkan ‘Allahuakbar’, Mohd Azian berkata anak gajah yang dilanggar itu perlahan-lahan bangun sebelum kereta mereka yang telah kematian enjin bergerak sendiri ke hadapan berikutan permukaan jalan yang menuruni bukit.

Tanpa melengahkan masa, beliau segera menghidupkan enjin dan bergegas meninggalkan lokasi insiden.

Mohd Azian juga memanjatkan rasa syukur kerana mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di Balai Polis Jeli berhubung kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :