Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas ubat tidak berdaftar dari luar negara bernilai lebih RM1.5 juta dalam serbuan di tiga premis. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
AGENSISELANGOR

Tiga premis diserbu, ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM1.5 juta dirampas

SHAH ALAM, 8 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas ubat tidak berdaftar dari luar negara bernilai lebih RM1.5 juta.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata serbuan dibuat bersama polis ke tiga premis yang dijadikan lokasi pembungkusan, penyimpanan, pengedaran dan penjualan ubat tidak berdaftar.

“Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan berjaya membongkar aktiviti sindiket ini yang menyasarkan pembungkusan semula ubat berdaftar keluaran jenama terkenal.

“Antara ubat yang dirampas adalah ubat suntikan insulin untuk kencing manis, ubat rawatan jantung, ubat anti kolesterol, ubat rawatan asma, ubat darah tinggi dan ubat titis rawatan mata.

“Kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Justeru, Dr Sha’ari menasihatkan semua klinik dan farmasi supaya memastikan sumber bekalan ubat hanya daripada pemborong berlesen, berdaftar dan diperoleh daripada sumber sah.

“Orang awam juga dinasihatkan membeli dan menggunakan ubat atau produk kesihatan berdaftar bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan diri terjamin.

“Masyarakat juga digalak mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan ubat-ubatan atau produk meragukan dalam usaha membanteras aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau melalui talian 03-7841 3200.


Pengarang :