AGENDANASIONAL

Tiga saudara rentung kemalangan baru hantar juadah Deepavali buat nenek

IPOH, 14 NOV: Tiga bersaudara yang rentung dalam kemalangan jalan raya di Kawasan Perindustrian Bercham dekat sini, malam tadi baru selesai menghantar juadah Deepavali ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan di sini petang semalam.

Insiden yang berlaku kira-kira 8 malam itu mengorbankan M. Krishna, 20, yang memandu kereta jenis Proton Perdana, adik lelakinya, M. Pavilesh, 16, dan sepupu mereka N. K. Subash Varman, 16.

Bapa mangsa, M. Manimaran, 50, berkata kedua-dua anaknya Krishna dan Pavilesh keluar dari rumah mereka di Taman Cempaka kira-kira 4 petang semalam.

Beliau berkata mereka berdua mengambil sepupunya Subash Varman yang tinggal di Bercham kerana mahu menghantar beberapa jenis lauk yang dimasak oleh isterinya sempena Deepavali ke rumah nenek mereka.

“Saya dapat bercakap dengan anak saya (telefon) pada pukul 6 petang dan memberitahu mereka mahu ke rumah kawannya terlebih dahulu sebelum pulang.

Sementara itu, bapa kepada Subash Varman, L. Nantha Kumar, 41, berkata kematian anak sulung daripada dua beradik itu amat mengejutkan mereka sekeluarga.

Beliau berkata Subash Varman merupakan seorang anak yang baik dan sering membantu mereka.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Tanjung Rambutan hilang kawalan lalu bertembung dengan lori sampah dari arah bertentangan, ketika melalui jalan selekoh.

Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut tersepit di bawah lori sampah lalu terbakar dan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori sampah dan empat orang kelindan pula tidak mengalami kecederaan.

-BERNAMA


Pengarang :