SHAH ALAM, 2 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelak pencemaran di beberapa loji rawatan air (LRA) utama negeri berikutan insiden tumpahan minyak akibat kemalangan lori treler di kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari Rawang ke Sungai Buaya semalam.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata LUAS bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan dan hasil semakan mendapati tumpahan minyak enjin lori berkenaan memasuki sistem saliran berdekatan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/P-JER-Bandar-Utama-10-500x333.jpg)
“Aliran bahan cemar tersebut berpotensi memasuki Sungai Serendah dan anak-anak sungai seperti Sungai Garing, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor. Jarak saliran longkang culvet akhir ke Sungai Serendah adalah 100 meter.
“Langkah pencegahan awal telah dilaksanakan Plus dengan meletakkan serbuk kayu di kawasan yang terlibat dan sepanjang longkang sebagai inisiatif pencegahan untuk mengekang insiden daripada bertambah teruk.
“LUAS mempertingkat inisiatif pencegahan dengan meletakkan 50 oil pad di longkang lebuh raya untuk mengelakkan sisa minyak terus mengalir ke dalam sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/396980514_720723716768292_6129897320781071804_n-500x386.jpg.webp)
Menurut Jamaliah, jarak lokasi tumpahan berkenaan berdekatan dengan LRA Rantau Panjang sekitar 19.1 km, SSP1 dan SSP2 (23.8 km) serta SSP3 (23.4 km).
Tambahnya, pemantauan di jalan dan longkang di lokasi kejadian pagi ini mendapati tiada lagi kesan bahan pencemar yang bertakung selain kerja-kerja pembersihan telah diselesaikan Plus.
“Semakan lanjut di Sungai Serendah juga tiada kesan bahan pencemar yang masuk ke dalam aliran sungai. Kesan daripada tindakan mitigasi segera ini berjaya mengelakkan risiko dan impak kepada operasi LRA utama negeri.
“LUAS meneruskan pemantauan di tapak dan Sungai Serendah untuk memastikan tiada lagi baki kesan-kesan bahan pencemar yang terlepas masuk ke dalam sungai dan kesan di lokasi bebas daripada sebarang risiko,” katanya.