Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam TNEC ESG Ride 2023 di Laman PKNS, Shah Alam pada 26 November 2023. Foto ihsan PKNS
AGENSISELANGOR

TNEC-PKNS FMI anjur acara berbasikal, promosi amalan lestari

SHAH ALAM, 29 NOV: TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) bersama PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PKNS FMI) bekerjasama menganjurkan acara berbasikal di Laman PKNS, di sini pada 26 November.

Dalam kenyataan bersama, syarikat berkenaan memaklumkan acara itu mempromosikan amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) sambil memperkukuh hubungan rapat dengan pelanggan utama.

Menurutnya, acara TNEC ESG Ride 2023 itu juga peluang bagi kedua-dua syarikat menunjukkan komitmen terhadap tanggungjawab korporat dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan lestari.

“TNEC juga sedang meneroka peluang bersama PKNS FMI dengan menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) untuk membuka jalan menjalinkan kerjasama dan potensi peluang perniagaan.

“Kerjasama dengan PKNS FMI dijangka mengubah landskap dan memberi impak yang positif khususnya di bandar raya Shah Alam,” kata syarikat berkenaan dalam kenyataan pada 26 November.

Menurut kenyataan itu lagi, TNEC juga menjalin kerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membekalkan tenaga sejuk melalui perjanjian konsesi selama 20 tahun sejak 2006.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas, Ketua Pegawai Operasi TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi Lembaga Pengarah TNEC Dr Ahmad Jaafar Abdul Hamid.


Pengarang :