Wakil 46 sekolah dalam daerah Petaling mendapatkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tuisyen percuma, ADN Sentosa cadang perluas program di sekolah rendah

SHAH ALAM, 16 NOV: Ahli Dewan Negeri Sentosa mencadangkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dimula daripada sekolah rendah bagi mengatasi masalah 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.

G Gunarajah berkata isu penguasaan 3M tidak harus dipandang remeh dalam era globalisasi dan harus diberi keutamaan supaya dapat memghasilkan generasi berilmu.

“Saya mencadangkan agar PTRS dimulakan daripada sekolah rendah dan memberi kelas intervensi pemulihan supaya mereka menguasai 3M sebelum ke sekolah menengah sekali gus mengatasi masalah keciciran lebih awal.

“Selain itu, turut dicadang PTRS dikendalikan guru daripada sekolah lain selain bagi mendapatkan teknik pembelajaran dan pengajaran yang baru atau lain. Ia dapat memberi nafas yang segar kepada pelajar dan tidak lesu,” katanya ketika berbahas dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau turut mencadang supaya inisiatif dibawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dikendalikan pihak sekolah bersama wakil rakyat masing-masing.

“Ini bagi memastikan hasrat utama pelaksanaan PTRS yang diwujudkan selari dengan Kerajaan Negeri yang mahu membantu pelajar prestasi pelajaran sederhana atau lemah,” katanya.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan tambahan peruntukan RM3 juta untuk PTRS kepada MBI tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebelum ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM7 juta bagi program sama, menjadikan jumlahnya RM10 juta untuk tahun hadapan.

PTRS menumpukan 65,000 pelajar di Selangor dengan mengadakan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan pada 2023.

Katanya, tambahan dana bagi memenuhi sasaran terkandung dalam Tawaran Kita Selangor Kerajaan Perpaduan iaitu 200,000 pelajar dibantu dalam tempoh lima tahun.


Pengarang :