Perbicaraan mahkamah (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tumbuk ibu untuk beli dadah, buruh dipenjara setahun

SHAH ALAM, 30 NOV: Seorang lelaki dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini kerana menumbuk ibu kandungnya yang enggan memberikan RM10 untuk membeli dadah.

Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai buruh kelapa sawit didakwa dengan sengaja mencederakan ibu kandungnya Hew Yoke Cheng, 50, dalam kejadian Isnin lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu didapati menumbuk lengan kiri ibu kandungnya kerana tidak memberikan RM10 untuk membeli dadah, sekali gus memaksa mangsa membuat laporan polis.

Polis kemudiannya menahan suspek di tepi jalan Desa Maju Langkap, jam 9.30 malam hari yang sama.


Pengarang :