Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Darul Ehsan Kelima Belas di Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Unit integriti perlu kemuka laporan empat bulan sekali, bendung rasuah penjawat awam

SHAH ALAM, 15 NOV: Unit integriti semua jabatan dan agensi awam negeri ini diarah mengemukakan laporan berkaitan pengurusan integriti empat bulan sekali sebagai usaha membendung gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam.

Dato’ Menteri Besar berkata laporan itu perlu dihantar kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan bahagian pengurusan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei, September serta Januari.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penubuhan unit integriti di semua agensi awam selaras pekeliling perkhidmatan Bil 6/2013 bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pengurusan integriti agensi dan jabatan.

“Jabatan atau agensi akan mengemukakan laporan kepada SPRM serta disalin kepada unit integriti dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dilaporkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah yang diadakan tiga kali setahun.

“Bukan satu agensi dihantar (laporan), jadi tidak tersangkut di mana-mana (laporan) kalau mengikut pekeliling diberikan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah berhubung peranan unit integriti Selangor dalam mengawal gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam.

Mengulas berhubung 314 kes rasuah membabitkan penjawat awam yang dilapor sejak 2018 hingga 2022, Amirudin menjelaskan soal siasat SPRM mendapati tekanan rakan sekerja mendorong individu terbabit terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

“Ia melibatkan banyak jabatan yang telah dirujuk sebelum ini walaupun tidak cukup bukti, tetapi daripada soal siasat kebanyakan mereka tertekan dengan kelompok yang sudah mempunyai ekosistem dan jaringan tersendiri.

“Namun begitu, saya faham kemungkinan berlaku tekanan kerja atau daripada mereka yang terlibat dalam kelompok ini,” katanya lagi.


Pengarang :