Orang ramai melihat replika rumah contoh pada majlis perasmian Projek Puteri Ariana sempena Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 7 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Unit rumah siap tidak terjual catat penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu

SHAH ALAM, 15 NOV: Jumlah unit rumah siap dibina tidak terjual bagi suku kedua tahun ini mencatat penurunan 0.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah itu membabitkan 26,286 unit kediaman tidak terjual dengan nilai RM18.3 bilion.

“Bagi data awalan suku kedua tahun ini, bilangan unit rumah siap dibina tidak terjual berjumlah 26,286 unit dengan nilai RM18.3 bilion berbanding bilangan unit rumah yang dilancar sebanyak 135,614 unit.

“Ini menunjukkan penurunan 5.3 peratus dari segi jumlah unit dan penurunan 0.6 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) yang ingin mengetahui usaha kementerian mengatasi isu hartanah tidak terjual di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal menjelaskan kerajaan melaksana pelbagai tindakan termasuk bantuan skim pembiayaan bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat dikawal.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto BERNAMA

Menurutnya, kerajaan sedang melakukan pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut lokasi selain menggalakkan pemaju melaksana kajian kebolehlaksanaan.

“Usaha itu dilakukan bagi memastikan rumah yang dibina di sesuatu tempat adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut daripada terbengkalai dan tidak terjual.

“Selain itu, kerajaan juga sedang membangunkan Sistem Analitis Data Raya Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan,” katanya.

April lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan 27,746 unit kediaman yang siap dibina tetapi tidak terjual bernilai RM18.41 bilion dicatat setakat akhir Disember 2022.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion pada tahun sebelumnya.


Pengarang :