Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman (kanan) mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSA di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, Shah Alam pada 29 November 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Warga asing dilarang mohon, miliki lesen niaga, jadi penjaja

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak pernah membenarkan warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan selaras dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen PBT) Bilangan 1 tahun 2020.

Pemangku Datuk Bandarnya Ir Cheremi Tarman berkata pihaknya sentiasa memantau aktiviti perniagaan di premis bagi menangani isu perniagaan secara haram termasuklah perniagaan yang menggaji warga asing.

“Mengikut pekeliling, Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil. Pekerja warga asing juga tidak dibenarkan.

“MBSA tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki premis perniagaan seperti pasar malam, gerai, pasar awam dan kiosk. Ia hanya untuk warga Malaysia sahaja,” katanya pada mesyuarat penuh MBSA di sini hari ini.

Menurut Cheremi tindakan tegas akan diambil termasuk menarik semula lesen bagi mana-mana penyewa yang menyewakan tapak perniagaan kepada warga asing.

“Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasaan MBSA juga telah mengedarkan pekeliling kepada semua peniaga agar mematuhi syarat pelesenan supaya tidak menggaji warga asing,” katanya.


Pengarang :